arena

Khidmat Jae-hyung masih ditagih

Oleh Azlan Muhammad Zain

KUALA LUMPUR: Persatuan Memanah Kebangsaan Malaysia (NAAM) masih menaruh kepercayaan kepada Lee Jae-hyung untuk terus membimbing skuad negara dengan misi layak ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Ketua jurulatih dari Korea Selatan itu mula membimbing skuad negara sejak 2001 dan sudah membantu skuad negara mara ke temasya sukan terbesar dunia itu.

"Kontrak beliau akan berakhir dalam masa terdekat dengan NAAM masih percaya kepada kemampuannya untuk membimbing skuad negara. Jadi, kita akan berbincang dengan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail mengenai perkara ini.

"Lagipun, Jae-hyung sendiri sudah menyuarakan hasrat untuk kekal bersama Malaysia. Namun, pada masa sama, kita merancang untuk melakukan perubahan dalam struktur kejurulatihan membabitkan peranannya selain memberi keutamaan kepada jurulatih tempatan," jelas Setiausaha Kehormat NAAM, Datuk Abdul Hamid Hasan.

Sentuhan Jae-hyung bersama skuad negara membolehkan sukan itu mula melangkah ke pentas Olimpik pada 2004 di Athens menerusi pemanah recurve wanita, Mon Redee Sut Txi disusuli trio recurve lelaki pada tiga edisi berikutnya.

Bagaimanapun, mereka masih belum meraih sebarang pingat di pentas Olimpik dengan pencapaian terbaik adalah mara sehingga ke suku akhir pada Beijing 2008 menerusi Cheng Chu Sian, Mohd Marbawi Sulaiman dan Wan Mohd Khalmizam Wan Abd Aziz.

"Bagi Tokyo 2020, kita meletakkan sasaran trio recurve lelaki layak dalam acara berpasukan selain individu dalam acara wanita," katanya.

 

Disiarkan pada: December 24, 2018 @ 4:42pm
d