arena

Nazirul nasihat Hadi Fayyadh

Oleh Syafiq Aznan

KUALA LUMPUR: Penyerang muda negara, Hadi Fayyadh Abdul Razak diyakini mampu mencipta nama bersama kelab divisyen dua Liga Jepun (J2), Fagiano Okayama asalkan berdisiplin.

Itu nasihat yang dikongsi pertahanan skuad kebangsaan, Nazirul Naim Che Hashim berdasarkan pengalamannya bersama kelab divisyen tiga di Jepun, Ryukyu FC pada 2013 sambil mengakui penyerang berusia 18 tahun itu perlu memanfaatkan peluangnya berada di sana dengan sebaik mungkin.

"Bagi saya, gunakan waktu di sana dengan sebaik mungkin, contohnya mempelajari budaya di sana khususnya cara mereka bekerja dan apa yang mereka lakukan pada waktu lapang.

"Budaya mereka banyak berbeza berbanding budaya kita dan sememangnya disiplin adalah nombor satu buat mereka. Memang mereka begitu pentingkan disiplin," katanya.

Mengulas lanjut cabaran yang bakal diharungi penyerang tinggi lampai itu, bek kiri Perak itu mengakui Hadi Fayyadh perlu bekerja keras memandangkan statusnya sebagai pemain import dalam pasukan itu.

"Hadi Fayyadh perlu menunjukkan bahawa dia lebih baik berbanding pemain tempatan selain perlu berusaha untuk merebut tempat dalam kesebelasan utama.

"Apapun, ini adalah satu perkembangan yang positif dan saya berharap lebih ramai lagi pemain muda diberi peluang beraksi di luar negara," katanya.

Jumaat lalu, Hadi Fayyadh sah menyertai pasukan J2 itu dengan kontrak setahun selepas menjalani dua sesi latihan bersama mereka pada September dan bulan lalu.

Ini menjadikan bekas penyerang Johor Darul Ta'zim (JDT) itu sebagai pemain pertama beraksi secara profesional di negara Matahari Terbit itu dan walaupun hanya divisyen dua, ia sudah dianggap pencapaian yang membanggakan. 

Disiarkan pada: December 24, 2018 @ 4:54pm
d