arena

Weah sertai Celtic

Oleh Reuters

TORONTO, Kanada: Timothy Weah akan meninggalkan juara Perancis, Paris Saint-Germain apabila dipinjamkan selama enam bulan bermula Januari ini, kata penyerang Amerika Syarikat itu.

Media Britain melaporkan pemain berusia 18 tahun itu akan menyertai kelab juara Scotland, Celtic.

Weah hanya diturunkan tiga kali bersama PSG musim ini tatkala nama besar seperti Neymar, Kylian Mbappe dan Edinson Cavani mengehadkan peluangnya untuk berada dalam pasukan utama.

Dalam satu mesej yang dimuat naik di akaun Instagram miliknya, Weah berterima kasih kepada rakan sepasukan di PSG, staf kejurulatihan dan penyokong kerana menerimanya sebagai sebahagian daripada keluarga kelab itu.

“Beberapa bulan ini amat menakjubkan meskipun saya tidak begitu kerap diturunkan,” kata Weah. “Saya sentiasa bersyukur kerana diberikan peluang pada awal musim kerana ia membuka banyak perhatian terhadap saya pada musim sejuk ini.

“Saya berharap selepas enam bulan, saya akan bersedia untuk kembali ke Parc des Princes dan memberikan segala-galanya kepada kelab, bangga untuk menjadi sebahagian daripada warga Paris.”

Sejak membuat kemunculan antarabangsanya Mac lalu, Weah lebih kerap disenaraikan bersama Amerika Syarikat berbanding PSG, kelab yang ketika ini menguasai Ligue 1 dengan 15 kemenangan dalam 17 perlawanan.

Weah sebelum ini pernah muncul selaku pemain keempat termuda pasukan kebangsaan AS yang menjaringkan gol. Jaringannya itu dilakukannya ketika mereka mengatasi Bolivia 3-0, Mei lalu.

Weah adalah anak bekas penyerang Liberia, PSG dan AC Milan, George Weah yang pernah memenangi gelaran Ballon d’Or pada 1995. Bapanya juga kini Presiden Liberia.

Disiarkan pada: December 26, 2018 @ 8:12am
d