arena

'Kami tak tertekan'

Oleh Agensi

LONDON: Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp menyifatkan pasukannya tidak mempunyai sebarang tekanan tambahan sebelum memasuki babak kedua musim ini selaku pendahulu Liga Perdana Inggeris.

The Reds ketika ini mempunyai kelebihan empat mata di puncak liga berbanding juara bertahan, Manchester City sebelum aksi seterusnya, hari ini.

Pasukan kendalian Klopp yang tidak pernah ditewaskan setakat ini melayan kunjungan Newcastle United, malam ini.

“Tidak ada sebarang keraian, tidak ada kegembiraan berbanding sebelum ini, hanya kerana sekarang ini kami mendahului beberapa mata di depan,” katanya.

“Apa yang jelas, kami sudah bermain satu musim yang amat bagus setakat ini dan ia memberikan kami asas lebih baik untuk mengharungi babak kedua musim berbanding apa yang kami peroleh musim lalu. Itu saja, tiada yang lain.”

Isnin lalu, pengurus dari Jerman itu menyatakan ‘tiada siapa terjamin’ dalam pemburuan gelaran liga selain menegaskan Tottenham, Chelsea dan Arsenal - yang masing-masing berada di tangga ketiga, keempat dan kelima - juga berada dalam pemburuan itu dengan kempen masih berbaki 20 perlawanan.

Dalam lapan daripada 10 musim terakhir, pendahulu pada hari sambutan Krismas sentiasa menjadi juara Liga Perdana.

“Banyak perkara boleh berlaku,” kata Klopp. “Pada satu ketika anda mungkin memikirkan ia OK - kemudian sesuatu berlaku dan ia tidak lagi OK.

“Kami harus terus berjuang. Kami perlu fokus dan tidak terlalu bimbang.

“Sekiranya anda mahukan jaminan, pergilah ke sukan lain. Sekiranya anda mahu menikmati perjuangan, untuk mencuba apa yang anda mampu lakukan bagi menjadi yang terbaik - silakan. Mari kita berjuang bersama.

“Saya amat tenang. Tidak ada tekanan tambahan buat kami hanya kerana beza empat mata ini.”

Spurs ketika ini ketinggalan enam mata di belakang Liverpool selepas meraih kemenangan besar 6-2 ke atas Everton, Ahad lalu manakala Chelsea dan Arsenal 11 mata di belakang The Reds.

Disiarkan pada: December 26, 2018 @ 8:15am
d