arena

Spurs sedia hilang Eriksen

Oleh Agensi

LONDON: Pengendali Tottenham Hotspur, Mauricio Pochettino memberi isyarat kelab itu perlu bersedia dengan ketiadaan Christian Eriksen sekiranya pemain itu tidak menandatangani kontrak baharu.

Bintang Denmark, Eriksen mempunyai baki 18 bulan dalam kontraknya tetapi masih belum menyatakan persetujuan untuk kontrak baharu walaupun rakan sepasukan seperti Harry Kane, Dele Alli dan Son Heung Min sudah melanjutkan tempoh masing-masing.

Bulan lalu, Pochettino menegaskan beliau tidak begitu bimbang dengan masa depan Eriksen, walaupun ada laporan menyatakan Real Madrid berminat mendapatkan khidmat perancang itu.

Bagaimanapun ketika beliau tetap positif persetujuan boleh dicapai antara kelab dan Eriksen, Pochettino berkata, Spurs perlu bersedia menyesuaikan diri dengan bola sepak moden yang dinamik dan sering berubah.

“Bola sepak sangat dinamik, sentiasa berubah setiap hari,” kata Pochettino. “Ia bukan saja mengenai keputusan anda tapi keputusan pemain juga.

“Sekarang saat untuk menikmati keadaan masa kini. Pemain sepertinya sentiasa fokus untuk melakukan tugas dengan baik dan persembahan yang anda mahukan. Keputusan akan dibuat pada akhir musim atau beberapa hari lagi.

“Bola sepak amat dinamik: ia mengenai keputusan, keputusan, keputusan, keputusan. Kami harap kami akan membuat keputusan terbaik buat kelab dan pemain memutuskan yang terbaik untuk masa depan mereka serta kelab.”

Spurs kini di tangga ketiga liga, dua mata di belakang juara bertahan Manchester City, selepas membelasah Everton 6-2 Ahad lalu.

Dengan Liverpool mendahului liga, empat mata di depan Manchester City, skuad kendalian Pochettino masih berpeluang mencabar kejuaraan Liga Perdana Inggeris musim ini.

Disiarkan pada: December 26, 2018 @ 12:58pm
d