arena

Razie, Sukri aset penting UniKL

Oleh Saiful Affendy Sapran

KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih hoki UniKL, Arul Selvaraj menegaskan keputusannya mengikat dua pemain senior negara, Mohamad Sukri Abdul Mutalib dan Muhammad Razie Abdul Rahim adalah kerana mereka mempunyai mentaliti juara.

Jelas Arul lagi, Sukri dan Razie yang beraksi di kempen Piala Dunia di Bhubaneswa, India melengkapkan senarai pemain terbaik yang dimilikinya, selepas memenuhi slot enam pemain import untuk mengharungi kempen Liga Hoki Malaysia musim 2019.

"Razie sudah pun menyertai latihan bersama kami. Saya lihat dia cukup bersemangat dan mempunyai fizikal yang baik.

"Sukri pula adalah kapten skuad negara yang mempunyai pengalaman cukup luas. Dia akan mula menyertai latihan esok.

"Dengan enam pemain import yang diperkuatkan dengan kehadiran Sukri, Razie dan Marhan (Jalil), saya rasa kami sudah mempunyai pasukan yang lengkap untuk menghadapi kempen liga pada musim baru nanti," katanya.

UniKL mengekalkan tiga pemain import yang beraksi musim lalu, iaitu penjaga gol David Harte (Ireland), pemain tengah Timothy Deavin dan penyerang, Keirin Govers (Australia).

Tiga lagi muka baru adalah Robbert Kemperman, Martijn Havenga dan Valentin Verga dari Belanda.

Mengulas mengenai saingan musim depan, Arul mengakui dengan deretan pemain bintang yang dimiliki pasukannya, UniKL tidak lagi boleh dilihat sebagai pasukan biasa.

"Kami hadir dengan status juara Piala TNB. Untuk mempertahankan kejuaraan itu bukan mudah.

"Jadi kami harus konsisten pada setiap perlawanan jika mahu memenangi kejuaraan Liga Premier," katanya.

Saingan Piala P Alagendara akan bermula 3 Januari ini, manakala saingan liga dijadualkan bermula 11 Januari.

Disiarkan pada: December 26, 2018 @ 6:23pm
d