arena

Peng Soon-Liu Ying optimis layak ke Tokyo 2020

Oleh Haika Khazi

KUALA LUMPUR: Pasangan beregu campuran negara, Chan Peng Soon dan Goh Liu Ying, tetap yakin mereka masih mampu menjadi pilihan utama negara ke Olimpik Tokyo 2020, biarpun sudah meningggalkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM). 

Chan Peng Soon, 30, mengakui keputusan meninggalkan BAM itu dibuat selepas memikirkan secara mendalam soal impak dan masalah yang bakal dihadapi selepas ini.

"Sebenarnya saya tiada masalah ketika bernaung di bawah BAM, cuma kami merasakan sudah sampai masanya untuk kami berdikari, tetap masih memberi manfaat kepada kedua-dua pihak.

"Biarpun sudah bergerak secara profesional, kami tetap akan cuba sedaya upaya untuk meraih sebanyak mungkin mata di setiap kejohanan tahun depan untuk melepasi had kelayakan ke Olimpik, bermula Mei 2019.

"Jadi, saya akan merancang dengan sebaik mungkin dengan barisan kejurulatihan Kelab Badminton Ampang Jaya untuk memastikan kami layak ke Olimpik,” katanya.

Peng Soon ditemui media selepas sesi khas peminat bertemu pemain Kelab Badminton Ampang Jaya (AJBC), anjuran Aeon Credit Service di Midvalley Megamall, hari ini.

Mulai bulan depan, Peng Soon-Liu Ying akan menempuh cabaran sebagai pemain profesional bermula dengan Kejohanan Masters Thailand, Indonesia dan Malaysia Masters, namun ketika ini masih berusaha mencari penaja.

"Jika kami dapat banyak penaja, kami akan menyertai lebih banyak kejohanan dan kumpul mata untuk layak ke Olimpik 2020.

“Buat masa ini kami sudah menerima tajaan peralatan dan Daikin. Kami masih mencari penaja lain,” katanya.

Pasangan itu membuat meninggalkan BAM secara rasmi pada 17 Disember lalu, selepas menghantar surat memohon pelepasan pada 29 November dan kali terakhir beraksi di bawah bendera BAM ketika Jelajah Dunia Akhir BWF di Guangzhou, China.

Sementara itu, juara remaja dunia dua kali, Goh Jin Wei yang bakal mengharungi aksi di peringkat senior mulai tahun depan juga mahu fokus sepenuhnya kepada usaha mengumpul mata kelayakan Tokyo 2020 dan Sukan SEA Filipina 2019.

Disiarkan pada: December 26, 2018 @ 7:32pm
d