arena

Reds makin gayat, City kian 'terkucil'

Oleh Agensi

LONDON: Liverpool memberikan hadiah Krismas paling menarik buat penyokongnya apabila membenam Newcastle United 4-0 di Anfield, sekaligus mengukuhkan kedudukan di puncak Liga Perdana Inggeris, sebentar tadi.

Kemenangan itu menyaksikan Liverpool mengumpul 51 mata selepas mengharungi separuh daripada aksi liga musim ini, dengan kelebihan enam mata berbanding Tottenham Hotspur di tangga kedua.

Spurs merampas kedudukan kedua daripada Manchester City selepas menang besar 5-0 ke atas Bournemouth, manakala penyandang juara, City tumbang 1-2 kepada Leicester City.

Selepas kembali ke kelab yang pernah dibimbing sehingga bergelar juara Liga Juara-Juara 2005, pengurus Newcastle, Rafael Benitez menerapkan gaya permainan bertahan dengan lima pemain di barisan pertahanan.

Namun, pemain pertahanan, Jamaal Lascelles gagal mengeluarkan bola dari kawasan bahaya sekaligus menyaksikan Dejan Lovren ketika meraih gol pertama menerusi sepakan voli menarik pada minit ke-11.

Newcastle bertahan sehingga tamat babak pertama, namun bolos lagi seawal minit kedua di babak kedua, apabila Mohamed Salah dijatuhkan Paul Dummett. Pemain Mesir ini menjaringkan gol menerusi sepakan penalti - gol ke-13 liga setakat ini.

Liverpool meneruskan tekanan dan meraih gol ketiga menerusi Xherdan Shaqiri yang menolak mudah bola hantaran Trent Alexander-Arnold pada minit ke-79. Fabinho kemudiannya menjaringkan gol keempat tuan rumah apabila menanduk masuk bola sepakan sudut Salah.

Dalam satu lagi pertembungan, Manchester City terus menyaksikan perjalanan mereka untuk mempertahankan gelaran terus terganggu apabila tumbang kali kedua berturut-turut - kali ini dikejutkan dengan kekalahan 1-2 kepada Leicester City.

Dalam perlawanan tadi, skuad bimbingan Pep Guardiola mendahului saingan menerusi jaringan Bernardo Silva pada minit ke-14, namun Marc Albrighton menyamakan kedudukan buat Leicester lima minit selepas itu.

Kemudian, Ricardo Pereira meledak jaringan kemenangan Leicester pada minit ke-81 untuk mengesahkan kemenangan mutlak milik tuan rumah.

Kekalahan ketiga City dalam empat perlawanan terakhir itu menyaksikan kedudukan mereka merosot ke tangga ketiga liga dan kini ketinggalan tujuh mata di belakang pendahulu, Liverpool.

Disiarkan pada: December 27, 2018 @ 1:25am
d