arena

Spurs pintas City, United makin ganas

Oleh Reuters

LONDON: Tottenham Hotspur merampas kedudukan kedua carta Liga Perdana Inggeris daripada Manchester City, selepas membelasah Bournemouth 5-0 di Stadium Wembley, sebentar tadi.

Kejayaan Spurs itu juga dibantu kekalahan mengejut City kepada Leicester City 1-2, sekaligus menyaksikan juara bertahan itu jatuh di tangga ketiga liga.

Christian Eriksen memulakan pesta gol Spurs selepas menjaringkan gol minit ke-16, sebelum bintang Korea Selatan, Son Heung Min menambah gol kedua pada minit ke-23.

Lucas Moura menjadikan kedudukan 3-0 pada minit ke-35, sebelum tamat babak pertama.

Harry Kane meneruskan pesta gol Spurs dengan menyumbang gol keempat, sebelum Son melengkapkan kemenangan bergaya kelab itu dengan gol kelima yang juga kedua untuknya pada perlawanan itu minit ke-70.

Sementara itu, Ole Gunnar Solskjaer meneruskan rekod cemerlang selaku pengurus sementara Manchester United, apabila pasukan bimbingannya mencatat kemenangan 3-1 ke atas Huddersfield, ketika beliau melakukan penampilan pertama di Old Trafford.

Bintang sensasi, Paul Pogba menjaringkan dua gol pada babak kedua selepas Nemanja Matic meletakkan United di depan minit ke-28, sekali gus meneruskan rentak kemenangan selepas menenewaskan Cardiff City 5-1, Sabtu lalu - ketika kali pertama Solskjaer membimbing kelab itu.

Keputusan itu menyaksikan United kini mengumpul 32 mata daripada 19 perlawanan, manakala Huddersfield kekal di tangga terbawah dengan 10 mata, selepas berdepan kekalahan keenam berturut-turut.

Pogba meledak gol kedua United pada minit ke-64 menerusi rembatan dari jarak 13 meter, sebelum di sekali lagi menjaringkan gol minit ke-78.

Mathias Jorgensen merapatkan jurang untuk Huddersfield minit ke-88, namun langsung tidak menjejaskan rentak kemenangan United di laman sendiri.

 

 

Disiarkan pada: December 27, 2018 @ 1:30am
d