arena

Salah mungkin digantung

Oleh Agensi

LONDON: Mohamed Salah mungkin digantung perlawanan dan tidak beraksi bersama pendahulu Liga Perdana Inggeris, Liverpool bagi pertembungan penting berdepan Arsenal dan Manchester City.

Salah jatuh apabila pertahanan Paul Dummett menyentuh bahunya dalam kawasan penalti sekali gus meraih sepakan penalti pada minit ke-47 yang menyaksikan mereka menewaskan Newcastle 4-0.

Pemenang Kasut Emas musim lalu dari Mesir itu meledak gol ke-12 peribadinya musim ini menerusi sepakan penalti susulan insiden itu selain membantu Reds berada dalam kedudukan selesa dengan kelebihan enam mata di puncak liga.

Namun satu panel Persatuan Bolasepak (FA) Inggeris dijadual bermesyuarat hari ini bagi menentukan sekiranya pengadil, Graham Scott ‘tertipu’ ketika beliau memutuskan mengenai sepakan penalti itu.

Pengurus Newcastle, Rafael Benitez yang berang berkata: “Penalti sebegitu mengubah segala-galanya dan sekarang ini saya perlu menjelaskan kenapa kami melepaskan empat gol.”

Sekiranya panel - yang disertai seorang bekas pengadil, seorang bekas pengurus dan seorang bekas pemain - memutuskan ada ‘bukti jelas pemain secara sengaja memperdaya pegawai perlawanan’, maka Salah, 26, dijangka berdepan penggantungan dua perlawanan.

Liverpool bagaimanapun berhak menafikan dakwaan salah laku tetapi suruhanjaya itu akan duduk berbincang sebelum kunjungan Arsenal, awal pagi Ahad ini untuk mendengar rayuan.

Bekas pengadil, Mark Halsey berkata: “Oumar Niasse dan Manuel Lanzini berdepan hukuman sama sekiranya panel ini konsisten.”

Reds kini mempunyai kelebihan tujuh mata berbanding City yang dikendali Pep Guardiola. Mereka bertemu City di Etihad pada 3 Januari depan.

Disiarkan pada: December 27, 2018 @ 12:04pm
d