arena

Singa Utara merayu...

Oleh Firdaus Hashim

KUALA LUMPUR: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengesahkan  menerima permohonan daripada Persatuan Bolasepak Perlis (PFA) untuk beraksi dalam saingan Liga Perdana musim depan.

Timbalan Presiden FAM merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan FAM, Datuk Mohd Yusoff Mahadi berkata, permohonan berkenaan dibuat bagi mengisi dua kekosongan yang ditinggalkan oleh Terengganu City FC (TCFC) dan Kuantan FA.

TCFC yang muncul juara Piala FAM musim ini dihalang beraksi dalam saingan divisyen dua itu berikutan masalah tunggakan gaji yang gagal diselesaikan, manakala Kuantan FA pula dibatalkan penyertaan mereka pada pertengahan Liga Perdana ekoran masalah sama.

"Saya boleh sahkan bahawa Perlis memang ada menghantar permohonan untuk mengisi salah satu daripada dua slot ke Liga Perdana musim depan.

"Tapi itu semua terpulang kepada MFL (Liga Bolasepak Malaysia) untuk menentukan sama ada mereka layak atau tidak beraksi.

"Ia hanya permohonan saja, sama ada lepas atau tidak ia akan dibincangkan dalam mesyuarat antara kami (FAM) dan MFL," katanya ketika dihubungi oleh Sukan NSTP, hari ini.

Skuad Singa Utara yang hilang daripada 'radar' liga tempatan sejak 10 musim lalu, kini tampil gah apabila berbelanja cukup mewah dengan 'memborong' ramai pemain ternama untuk dibawa ke Kangar musim depan.

Walaupun hanya beraksi di Liga FAM yang juga saingan kelas ketiga Liga Malaysia, ia bukan penghalang buat pengurusan PFA memancing bekas penjaring terbanyak Piala AFF 2010, Safee Sali dan bekas kapten Kelantan, Badri Radzi.

Meskipun ia dianggap suatu pembaziran, Presiden PFA, Datuk Amizal Shaifit Ahmad Rafie sebaliknya mempunyai alasan tersendiri apabila yakin pasukannya itu mampu meraih slot ke Liga Perdana musim depan atas ihsan FAM.

Bagaimanapun, hajat Amizal itu dijangka sukar untuk direalisasikan kerana mereka sekadar menghuni tangga tercorot Kumpulan B Liga FAM musim ini selain isu tunggakan gaji yang gagal dilunaskan PFA hingga ke hari ini.

Disiarkan pada: December 27, 2018 @ 5:13pm
d