arena

FAM tolak rayuan KFA, pampasan Akhyar kekal

Oleh Mohd Fitrie Muhamad

KUALA LUMPUR: Rayuan Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) untuk mendapatkan bayaran pampasan lebih tinggi daripada pasukan yang mahu mendapatkan khidmat pemain mudanya, Akhyar Rashid ditolak oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Menurut kenyataan yang dikeluarkan FAM hari ini, selepas menilai fakta dan peraturan ditetapkan, Jawatankuasa Rayuan berpendapat jumlah pampasan RM75,000 yang sudah ditetapkan Jawatankuasa Status Pemain awal bulan ini dikekalkan.

Jawatankuasa Rayuan FAM yang bermesyuarat semalam dan dipengerusikan Datuk Seri Mohd Mokhtar Mohd Shariff mencapai kata sepakat jumlah pampasan berkenaan tidak dibuat sewenang-wenangnya, sebaliknya ia mengikut artikel dalam Peraturan Status & Perpindahan Pemain FAM.

"Jumlah RM210,000 itu adalah berdasarkan jumlah gaji Akhyar yang didarabkan dengan jumlah baki kontraknya bersama KFA, iaitu mengikut Artikel 15A: Penamatan kontrak secara sebelah pihak atau tebus kontrak oleh pasukan atau pemain.

"Jumlah RM75,000 pula adalah dibuat berdasarkan kos latihan, kategori kelab yang telah ditetapkan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), iaitu mengikut Artikel 8: Pengiraan Pampasan Latihan Peraturan Status & Perpindahan Pemain FAM," menurut kenyataan itu.

Sebelum ini, KFA menyifatkan pihaknya menganggap isu berkenaan belum selesai dan akan mengemukakan rayuan kepada FAM selepas tidak berpuas hati dengan keputusan FAM yang menetapkan nilai pampasan RM75,000 kepada mana-mana pasukan yang mahu mendapatkan khidmat Akhyar.

Difahamkan, Akhyar masih memiliki kontrak bersama KFA sehingga 2019 dengan nilai baki kontrak atau tebus kontrak sebanyak RM210,000.

Bagaimanapun, keputusan Jawatankuasa Rayuan FAM itu memuktamadkan segala kemelut yang timbul dan mana-mana pasukan berhak mendapatkan Akhyar dengan nilai RM75,000 bersama jumlah tebus kontrak berjumlah RM210,000.

"Jumlah RM75,000 tersebut adalah nilai pampasan latihan yang menjadi wang tambahan untuk diperoleh KFA dengan mengambil kira nilai-nilai murni bola sepak. Untuk itu, secara keseluruhan KFA akan menerima sejumlah RM285,000," menurut kenyataan itu lagi.

Disiarkan pada: December 27, 2018 @ 6:21pm
d