arena

'Usia bukan penghalang mereka'

Oleh Firdaus Hashim 

KUALA LUMPUR: Faktor usia bukan penghalang buat dua calon pemain naturalisasi iaitu Guilherme De Paula dan Lee Tuck mengikut jejak Mohamadou Sumareh bagi membarisi skuad Harimau Malaya dalam tugasan antarabangsa selepas ini.

Ketika ada yang mempertikaikan usia dua tonggak berkenaan yang sudah mencecah angka 30 tahun ke atas, bekas pemain kebangsaan Khalid Ali menyifatkan kedua-dua pemain itu masih mampu menyumbang sesuatu kepada pasukan negara.

De Paula yang berusia 32 tahun, manakala Lee Tuck 30 tahun dilihat masih berupaya memperkuatkan barisan skuad kebangsaan seperti diperagakan kedua-duanya ketika bersama pasukan Kuala Lumpur dan Terengganu FC.

“Usia bukan masalah. Mereka cukup profesional bukan saja di dalam padang, malah juga di luar padang. Biasanya pemain import ini akan menjaga pemakanan dan kecergasan diri dengan baik.

“Lagipun, ramai pemain di Eropah yang sudah berusia contohnya seperti Gianluigi Buffon 40 tahun masih lagi kuat. Apapun, saya percaya soal umur bukan isu utama sebaliknya prestasi semasa yang perlu diberi perhatian,” katanya kepada Sukan NSTP, hari ini.

Selain dua pemain itu, bekas tonggak Kedah, Liridon Krasniqi juga disebut calon sesuai untuk diserapkan ke dalam skuad negara dengan usianya baharu mencecah 26 tahun.

Sebelum ini, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dilaporkan sedang berkira-kira untuk 'merekrut' tiga calon baharu iaitu Liridon, De Paula dan Lee Tuck bagi menyertai Sumareh sebagai tonggak naturalisasi skuad Harimau Malaya.

Malah, Liridon dan Lee Tuck sendiri mengakui bersedia menerimanya jika ditawarkan oleh badan induk bola sepak tempatan itu.

Sementara itu, Khalid turut menolak pandangan segelintir pihak yang mendakwa mereka sengaja menggunakan isu naturalisasi ini sebagai batu loncatan untuk mendapatkan kerakyatan negara ini.

Katanya, kesanggupan beberapa tonggak import yang bermain di Liga Malaysia (Liga-M) seperti Sumareh yang kini bergelar pemain naturalisasi Malaysia perlu dilihat dari sudut positif terutamanya dalam meningkatkan kualiti pasukan kebangsaan.

"Kita tengok balik ketika Piala AFF baru-baru ini, Sumareh berjaya memperagakan aksi bertenaga dan sanggup bermati-matian sepanjang kejohanan semata-mata demi lencana di dada.

"Begitu juga pemain lain seperti Liridon Krasniqi dan Guilherme De Paula, saya percaya mereka juga jika diberi taraf pemain naturalisasi mereka akan bermain bersungguh-sungguh demi Malaysia. 

"Sebenarnya tak semua sukakan kaedah naturalisasi ini. Tapi kita kena faham, ia hanya pelan jangka pendek FAM untuk mengembalikan kegemilangan bola sepak kita.

"Gergasi Asia, Jepun dan pemenang Piala Dunia, Perancis pun gunakan cara ini. Jadi kenapa kita nak malu, sepatutnya kita sama-sama menyokong demi kebaikan pasukan kebangsaan," katanya.

 

 

 

Disiarkan pada: December 27, 2018 @ 8:10pm
d