arena

UKM FC, Perlis, TFC II lengkap slot Liga Perdana

Oleh Farah Azharie

KUALA LUMPUR: UKM FC, Perlis dan Terengganu FC II (TFC II) melengkapkan slot 12 pasukan yang beraksi dalam saingan Liga Perdana bagi musim depan.

UKM FC sebelum ini menghantar surat rasmi kepada Liga Bolasepak Malaysia (MFL) pada awal November lalu bagi memohon penangguhan pengesahan penyertaan tetapi mereka kini disahkan sebagai salah satu pasukan yang beraksi dalam kancah Liga Perdana.

Sementara itu, rayuan skuad Singa Utara untuk beraksi di Liga Perdana diterima oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan mereka akan menggantikan Kuantan FA yang didenda RM67,500 kerana gagal melunaskan gaji kepada 44 pemain dan jurulatih pasukan itu yang dianggarkan berjumlah RM1.6 juta.

Juara Liga FAM, TCFC yang berdepan masalah sama dan didenda RM1,500 kerana gagal menyelesaikan pampasan kontrak berjumlah RM60,000 kepada bekas jurulatih, Roshadi Wahab menyaksikan tempat mereka digantikan oleh TFC II.

MIFA FC dalam pada itu dijangka menggantikan FELCRA FC yang menarik diri daripada saingan Liga Super 2019 selepas pasukan itu gagal menyelesaikan masalah tunggakan gaji selama tiga bulan yang berjumlah hampir RM2 juta.

Pasukan MIFA begitupun dikhabarkan akan dijenama semula kepada PJ City dan akan menggunakan Stadium Petaling Jaya sebagai gelanggang sendiri.

Pasukan lain yang beraksi di Liga Super 2019 termasuklah juara lima kali, Johor Darul Ta’zim, FELDA United, Kedah, Kuala Lumpur, Melaka United, Pahang, Perak, PKNP FC, PKNS FC, Selangor dan Terengganu FC.

 

 

Disiarkan pada: December 28, 2018 @ 12:35am
d