arena

Van Dijk tetap berwaspada

Oleh AFP

LONDON: Pertahanan Virgil van Dijk mengakui kini adalah tempoh paling mengujakan untuk bergelar pemain Liverpool tetapi memberi amaran pendahulu carta Liga Perdana itu masih belum merangkul sebarang gelaran.

Selepas setahun bergelar pemain pertahanan termahal dunia dengan nilai AS$95 juta dolar (RM396.12 juta) dari Southampton, pemain kebangsaan Belanda itu mula membuktikan pembelian mahalnya memberi manfaat terhadap Liverpool.

Skuad kendalian Jurgen Klopp hanya melepaskan tujuh gol dan tidak tewas dalam 19 perlawanan Liga Perdana setakat ini, perjalanan yang menyaksikan Reds ketika ini memiliki kelebihan enam mata di puncak liga.

“Saya dapat rasakan ini adalah masa paling mengujakan di Liverpool, dan semoga ia terbukti berterusan seperti itu,” kata Van Dijk, 27.

“Apa yang penting ialah kami perlu meneruskannya, kami tidak boleh berpuas hati dengan apa yang kami miliki ketika ini kerana kami belum mempunyai apa-apa ketika ini. Kami perlu meneruskannya, kekal merendah diri dan bekerja keras.”

Kehadiran Van Dijk di Anfield membawa Liverpool ke pentas final Liga Juara-Juara musim lalu tetapi dua kesilapan besar daripada penjaga gol, Loris Karius membantu Real Madrid mengekalkan mahkota kejuaraan Eropah buat kali ketiga dengan kemenangan 3-1 di Kiev, Ukraine.

Pembelian penjaga gol utama Brazil, Alisson Becker bagi menggantikan tempat Karius meningkatkan keupayaan pertahanan Reds musim ini tetapi Van Dijk masih dianggap sebagai tonggak yang mengubah kelab itu sebagai pencabar kejuaraan.

“Rekod pertahanan kami musim ini sudah terbukti dan saya jelas berbangga dengannya,” kata Van Dijk. “Keseluruhan pasukan memberi sumbangan dan kami semua sepatutnya berbangga kerana kami cuba untuk tidak bolos, bukan saja di bahagian pertahanan.

“Apabila segala-galanya berjalan lancar, orang mungkin berkata saya seorang mengubah segala-galanya tetapi ia bukan seperti itu,” katanya yang turut diberikan tanggungjawab sebagai kapten pasukan Belanda yang kembali meningkat ketika ini.

Disiarkan pada: December 28, 2018 @ 1:29am
d