arena

Robinho pindah ke Basaksehir

Oleh AFP

ISTANBUL: Bekas penyerang Brazil, Robinho berpindah ke kelab pendahulu Liga Super Turki, Basaksehir semalam dari Sivasspor yang disertainya awal tahun ini.

“Kelab ini sudah mencapai persetujuan dengan Sivasspor bagi perpindahan Robson De Souza (Robinho),” kata pengerusi Basaksehir, Goksel Gumusdag dalam satu kenyataan.

Bagaimanapun kelab itu tidak memberikan sebarang butiran terperinci mengenai perpindahan itu.

Sivasspor, yang berpangkalan di bandar Sivas di tengah Anatolia, mengikat bekas pemain AC Milan, Real Madrid dan Manchester City itu dengan kontrak setahun setengah Januari lalu di sebalik pertuduhan mengenai kes rogol.

Robinho didapati bersalah oleh mahkamah Itali tahun lalu kerana terbabit dengan kes rogol beramai-ramai ke atas seorang wanita Albania berusia 22 tahun pada Januari 2013, ketika pemain Brazil itu beraksi dengan Milan dalam Serie A.

Robinho, 34, menegaskan dia tidak bersalah dan merayu sabitan itu manakala hukumannya masih tergantung.

Ketika bersama Sivasspor, dia meledak 12 gol dalam 30 perlawanan. Sivasspor di tangga kesembilan Liga Super.

Disiarkan pada: December 28, 2018 @ 11:48am
d