arena

Red Bull 'ugut' undur diri

Oleh Agensi

PARIS: Red Bull mengancam untuk meninggalkan perlumbaan Formula Satu sebagai bantahan terhadap perubahan peraturan yang dirancang tatkala mereka menyasarkan kejayaan dalam saingan 24 jam Le Mans bersama Aston Martin.

Syarikat minuman bertenaga itu yang menyertai F1 selepas mengambil alih tugas Jaguar sejak 2005, memenangi empat gelaran berturut-turut dalam kejuaraan pengeluar dari 2010 hingga 2013 namun bergelut dalam era v6 turbo-hibrid.

Bagi 2019, mereka akan bergandingan bersama Honda selaku pengeluar enjin sekali gus menamatkan kerjasama lama dengan Renault dalam usaha untuk muncul selaku pencabar sekali lagi.

Kerjasama baharu itu menyaksikan mereka menjadi pasukan kerja ‘de facto’ dengan Honda juga membekalkan enjin kepada Toro Rosso berbanding pasukan pelanggan mereka yang sebelum ini bersama Renault.

Namun dengan pemilik F1, Liberty Media menyasarkan peluang besar menerusi persetujuan Concorde ketika ini - kontrak antara FIA dan pasukan yang bersaing dalam perlumbaan dan bagaimana hasil TV serta hadiah kemenangan diagihkan - berakhir pada 2020, Red Bull mungkin menarik diri daripada sukan itu.

“Kami mempunyai perjanjian hingga 2020,” kata penasihat sukan permotoran Red Bull, Dr Helmut Marko.

“Selagi tidak ada peraturan enjin dan tiada perjanjian Concorde, Red Bull dan Honda tidak akan membuat sebarang keputusan.

“Namun, apa yang jelas kami tidak akan menjadi (pasukan) bebas semula seperti yang berlaku sebelum ini.”

Perjanjian antara Red Bull dan Honda berakhir pada hujung musim 2020 dan sekiranya perubahan itu tidak diterima, Marko berkata, mereka mempunyai dua pilihan sama ada menyertai Le Mans bersama Aston Martin Valkyrie atau tidak menyertai kedua-duanya.

“Berhenti adalah pilihan yang ada,” katanya. “Atau lakukan sesuatu yang lain. Dengan Valkyrie, Le Mans mungkin menjadi pilihan dengan peraturan ‘hypercar’. Kami pernah melaluinya dan ia satu kejayaan yang menarik.”

Ia bukan kali pertama Marko mengugut untuk meninggalkan F1 selepas penasihat berusia 75 tahun itu pernah menyatakan, sekiranya usahasama dengan Honda tidak berhasil mereka juga akan ‘hilang’ daripada saingan.

Disiarkan pada: December 28, 2018 @ 3:47pm
d