arena

Murray lega tak gantung raket

Oleh AFP

BRISBANE: Bekas pemain tenis nombor satu dunia, Andy Murray berkata dia gembira tidak mengambil keputusan untuk bersara sekalipun terpaksa berehat selama 11 bulan susulan kecederaan pinggul.

Juara tiga kali Grand Slam terbabit meluahkan perasaannya itu menjelang kepulangan semulanya ke gelanggang pada kejohanan Antarabangsa Brisbane yang akan membuka tirainya di Pusat Tenis Queensland, Isnin ini.

Murray, 31, yang menjulang gelaran di Brisbane pada 2013 dan 2014 menyertai kejohanan itu dengan menduduki ranking ke-256 dunia.

Pemain kelahiran Scotland itu dijadual beraksi di kejohanan sama pada awal 2018 tetapi terpaksa menarik diri di saat-saat akhir berikutan masalah pinggul yang turut menyaksikannya terlepas aksi di Terbuka Australia.

Dia kemudian menjalani pembedahan yang menyebabkannya terlepas hampir keseluruhan musim lalu.

“Kamu mahu keluar jika kamu bersedia,” kata Murray. “Jika saya memutuskan untuk bersara enam bulan lalu, tidak bermain atau kembali ke tahap di mana saya tidak boleh bersaing lagi, saya akan melihatnya kembali dan menyesal.

“Saya berhutang kepada diri saya untuk memberikan segala-gala yang termampu untuk kembali ke tahap di mana saya gembira dengannya. Saya mampu untuk bersaing di tahap tertinggi, tetapi saya perlu menjalani latihan yang getir selama beberapa hari berturut-turut. Ia satu cabaran.”

Begitupun, Murray yang juga naib juara lima kali Terbuka Australia berkata, dia masih kesakitan di bahagian pinggulnya tetapi ia jauh lebih baik berbanding beberapa bulan lalu.

Kejohanan di Brisbane turut menampilkan pemain nombor dua dunia, Rafael Nadal, bintang Jepun, Kei Nishikori dan penyandang juara, Nick Kyrgios.

Disiarkan pada: December 28, 2018 @ 9:17pm
d