arena

Waran tangkap buat Forestieri

LONDON: Waran tangkap terhadap pemain bola sepak Fernando Forestieri dikeluarkan selepas dia gagal hadir ke mahkamah di tengah England, semalam.

Forestieri, penyerang kelab divisyen dua Inggeris, Sheffield Wednesday, sepatutnya tampil di mahkamah majistret Mansfield dan staf mahkamah memberitahu Press Association dia berdepan satu tuduhan menggunakan kata-kata ugutan dan satu lagi gangguan bersikap perkauman pada 24 Julai lalu.

Kesalahan itu difahamkan dilakukan ketika pergaduhan selepas perlawanan susulan aksi persahabatan pramusim antara Wednesday dan Mansfield di Stadium One Call.

Forestieri digantung tiga perlawanan oleh Persatuan Bolasepak (FA) Inggeris, September lalu dan didenda £25,000 (RM132,000) selepas mengaku terhadap pertuduhan salah laku kerana pembabitannya dalam pergaduhan itu.

Pemain Mansfield, Jacob Mellis turut mengaku bersalah terhadap dakwaan salah laku FA dan digantung tiga perlawanan serta denda £1,500 (RM7,900).

Wednesday dan Mansfield masing-masing didenda £20,000 (RM105,000) dan £3,000 (RM15,800) selepas dua kelab itu mengaku terhadap pertuduhan FA gagal mengawal tingkah laku pemain mereka.

Forestieri diikat oleh Wednesday dari Watford pada musim panas 2015 dan menjaringkan 35 gol dalam hampir 100 penampilan buat kelab Yorkshire itu dalam semua pertandingan. - AFP

Disiarkan pada: December 29, 2018 @ 9:57am
d