arena

Gattuso, Higuain kekal

Oleh AFP

MILAN: Jurulatih Gennaro Gattuso dan penyerang Gonzalo Higuain akan terus kekal di AC Milan, kata pengarah sukan kelab itu Leonardo, awal pagi tadi.

Spekulasi bertiup kencang mengenai masa depan bekas pemain tengah Milan, Gattuso yang mungkin dipecat seandainya gagal meraih kemenangan ketika menentang pasukan di pertengahan carta liga, SPAL awal pagi ini sebelum rehat musim sejuk bermula.

“Tiada perancangan untuk menggantikan Gattuso dan Milan tidak menghubungi sesiapa,” kata Leonardo.

Higuain juga dikaitkan dengan perpindahan ke Chelsea bagi mengukuhkan jentera serangan yang disertai Alvaro Morata dan Olivier Giroud di Stamford Bridge.

“Chelsea? Tidak ada sebarang tawaran yang dibuat terhadapnya. Tiada siapa bertanya kepada kami mengenainya dan dia juga tidak meminta untuk berpindah,” kata Leonardo.

Juara Eropah tujuh kali itu terkeluar daripada kelompok ke Liga Juara-Juara - tiga mata di belakang penghuni tangga keempat Lazio - dengan tiada rekod jaringan dilakukan dalam empat perlawanan terakhir mereka.

“Kami cuba memperbetulkan keadaan, kami sedang memburu objektif untuk menamatkan (kempen) dalam kelompok empat terbaik,” kata Leonardo.

“Pemilik sedar akan situasi ini dan kami memerlukan kerjasama semua pihak.

“Kami perlu sedikit persefahaman untuk memperbetulkan situasi ini, kami tidak membeli 10 pemain dan kemudian mengubah segala-galanya.”

Leonardo - bekas pemain AC Milan dan jurulatih - berkata, Higuain tidak pernah meminta untuk berpindah meskipun terdapat laporan pemain itu mahu menyertai bekas pengurus Maurizio Sarri dalam kancah Liga Perdana Inggeris.

Pemain berusia 31 tahun itu menyertai AC Milan secara pinjaman dari Juventus, Julai lalu selepas ketibaan Cristiano Ronaldo di Turin. Dia hanya meledak lima gol dalam 14 perlawanan.

Disiarkan pada: December 29, 2018 @ 10:27am
d