arena

City ujian terbesar City

Oleh AFP

SOUTHAMPTON: Pep Guardiola berdepan minggu penuh ujian yang dianggap penting dalam menentukan hala tuju Manchester City terhadap usaha mempertahankan gelaran Liga Perdana Inggeris.

City menutup kalendar 2018 dengan kunjungan ke Southampton sebelum menyambut kehadiran tahun 2019 dengan aksi bertemu Liverpool di Etihad, perlawanan yang mana kekalahan boleh menyebabkan mereka terus ketinggalan 10 mata atau lebih daripada kedudukan singgahsana liga.

Malah, sebarang keputusan buruk mungkin memaksa Guardiola mengubah hatinya dan berbelanja untuk mendapatkan pemain baharu pada jendela perpindahan Januari ini bagi menghidupkan semula pemburuan gelaran Liga Perdana.

Kehilangan khidmat perancang tengah Fernandinho yang mengalami kecederaan dijadikan sebagai punca kejatuhan prestasi City yang mengutip tiga kekalahan daripada empat perlawanan terakhir liga.

Masalah kecederaan yang menghantui pertahanan kiri Benjamin Mendy dan kehilangan terbaru pertahanan kanan Kyle Walker turut menyajikan Guardiola dengan masalah di posisi itu yang menjadi kunci utama dalam sistem permainan diterapkannya.

Pengganti Mendy, Fabian Delph menampilkan persembahan hambar setakat ini dan dilayangkan kad merah ketika kalah di tangan Leicester, yang menyaksikannya menerima hukuman penggantungan tiga perlawanan.

Guardiola sering menegaskan beliau tidak berminat melakukan urusan pembelian di pertengahan musim dengan beliau lebih rela menunggu hingga musim panas, namun ia bergantung kepada kemampuan pemainnya menangani masalah kecederaan atau prestasi.

“Apabila kami membina skuad awal musim ini, ia bukan dibina untuk kami kembali berbelanja pada jendela perpindahan Januari melainkan kami berdepan masalah,” kata Guardiola bulan lalu.

“Tapi saya mempunyai kelompok pemain yang besar dan ramai pemain yang tidak boleh beraksi ketika saya masih menaruh kepercayaan terhadap mereka. Mereka fikir saya tidak sukakan mereka tapi ia tidak benar.”

Disiarkan pada: December 29, 2018 @ 12:18pm
d