arena

Renault gesa perkenal had perbelanjaan

Oleh Agensi

LONDON: Kos untuk meraih kemenangan dalam Formula Satu amat besar dan ia perlu dikurangkan sekiranya pasukan seperti Renault mahu bersaing dengan pasukan berbelanja besar seperti Mercedes, Red Bull dan Ferrari.

Itu pandangan pengarah urusan Renault, Cyril Abiteboul dan beliau berminat dengan had perbelanjaan yang akan diperkenalkan pemilik F1, Liberty Media meskipun ia masih belum diputuskan menjelang musim 2020.

Sejak kembali menyertai sukan berprestij sebagai pengeluar penuh pada 2016, Renault banyak melakukan pelaburan terhadap pasukan terutama dengan kontrak dua tahun untuk mengikat Daniel Ricciardo dari Red Bull.

Namun bajet itu boleh dikatakan masih terlalu kecil berbanding pelaburan yang dilakukan tiga pesaing utama dalam F1.

Meskipun cita-cita mereka tampak tiada batasan namun perbelanjaan mereka jelas sebaliknya dan Abiteboul menegaskan pengeluar dari Perancis itu tidak akan terjerumus dalam ‘peperangan bidaan’.

“Saya tidak mahu merungut mengenai situasi itu kerana ketika kami menyertai Formula Satu, kami sedar dengan situasi ini,” katanya.

“Apa yang cukup luar biasa adalah saingan perlumbaan dan perbelanjaan yang tak henti-henti untuk mencapai kemenangan - itu saya cukup hormati dan saya fikir ia sudah mencetuskan musim perlumbaan yang hebat tahun ini, jadi kami hanya perlu lihat sejauh mana kemampuan kami untuk mengikut rentak (Mercedes, Ferrari dan Red Bull).

“Dalam pada itu, terdapat perbezaan mengenai persetujuan pengagihan kewangan; dalam masa sama juga terdapat had perbelanjaan kerana dari sudut pandangan kami, ia tidak sesuai dan saya percaya - betulkan sekiranya saya salah - tapi saya percaya, semua pihak berasakan perkara sama.

“Jadi ia hanyalah isu berkaitan masa. Sekiranya perancangan itu ditangguhkan setahun lagi, maka ia ditunda untuk setahun lagi tapi saya fikir apa yang penting adalah prinsip yang mana kami perlu berada dalam posisi untuk memenangi perlumbaan dengan kos yang munasabah, berdasarkan nilai Formula Satu itu sendiri.

“Inilah persamaan yang kami mahukan - kembali kepada realiti dalam tempoh beberapa bulan lagi.”

Disiarkan pada: December 29, 2018 @ 12:47pm
d