arena

'Zidane' sandaran TNB

Oleh Naqib Nor Said

KUALA LUMPUR: Faktor pengalaman dan prestasi hebat semasa penyerang Tengku Ahmad Tajuddin Abdul Jalil mampu memainkan peranan penting dalam misi Tenaga Nasional Berhad (TNB) menamatkan kemarau 10 tahun trofi utama Liga Hoki Malaysia (LHM).

Bintang skuad hoki negara itu meledak 14 gol sepanjang lima kejohanan utama antarabangsa tahun 2018 dengan hanya Sukan Komanwel menjadi satu-satunya acara menyaksikan dia kebuntuan gol.

Walaupun angka gol itu masih jauh jika dibandingkan apa yang dihasilkan pakar pukulan sudut penalti Faizal Saari dan Razie Rahim, namun dari segi prestasi permainan dan konsistensi ternyata Tengku boleh dianggap berada pada tahap terbaiknya biarpun tidak lama lagi bakal menginjak usia 33 tahun.

Bagaimanapun, penyerang itu yang turut berada dalam senarai penjaring ketika TNB menumbangkan Pasukan Hoki Terengganu 5-1 pada aksi pemanas badan kelmarin, kekal merendah diri dengan menyatakan dia akan cuba memberi yang terbaik dalam usaha membantu pasukannya memenangi sekurang-kurangnya satu trofi.

“Sebenarnya saya hanya memberikan segala-galanya berdasarkan kemampuan terbaik saya setiap kali diturunkan, tiada istilah ambil mudah sekalipun bertemu lawan lebih lemah.

“Mengenai itu (dilabel sebagai penggempur terbaik negara 2018) saya rasa masih banyak yang perlu dipelajari, walaupun sudah sampai tahap ini tapi dalam dunia hoki moden ini yang berubah dari masa ke semasa saya perlu terus berusaha keras.

“Pada masa sama kami (TNB) akan berusaha keras untuk memenangi satu trofi musim depan apatah lagi dengan keserasian pasukan yang mengekalkan hampir keseluruhan muka sama selepas hanya membawa masuk tiga pemain muda saja kali ini,” katanya yang mesra disapa sebagai Zidane.

Kali terakhir TNB merasai detik manis kejuaraan adalah ketika menjulang gelaran Piala TNB 2009 namun mereka terus berputih mata sejak itu.

Bagaimanapun, 2019 mungkin musim terbaik buat skuad kendalian Nor Saiful Zaini Nasiruddin menamatkan penantian itu kerana gabungan pemain muda di samping kehadiran 10 pemain skuad kebangsaan menyaksikan TNB menjadi pilihan kedua di belakang UniKL yang berbelanja besar dalam mendapatkan pemain import ternama dunia.

“Itu pandangan jurulatih lain, bagi saya peluang tetap seimbang dengan THT masih pasukan yang kuat bersama UniKL; malah kami turut menghormati Nur Insafi, Maybank, UiTM dan TNB Thunderbolts,” kata Tengku yang turut terkenal dengan jiwa besarnya dalam membangunkan sukan hoki apabila sering mengeluarkan duit poket setiap kali pasukan negeri asalnya Perlis mengambil bahagian pada kejohanan Majlis Sukan Sekolah Malaysia dan Piala Razak.

Sebagai rekod, TNB terus memperlihatkan peningkatan dalam kempen lalu apabila menamatkan saingan di kedudukan ketiga Liga Perdana berbanding kedudukan keempat (2017) dan keenam (2016).

Disiarkan pada: December 29, 2018 @ 1:07pm
d