arena

Tamak beli pemain

Oleh Firdaus Hashim dan Naqib Nor Said

KUALA LUMPUR: Ketika saingan Liga Malaysia (Liga M) semakin mendapat pengiktirafan antarabangsa menerusi pencapaian cemerlang kelab tempatan yang berjaya menembusi saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL) musim depan, isu pasukan yang gagal melunaskan gaji pemain sebaliknya masih menghantui dan membelenggu pasukan yang bertanding sekali gus menyerlahkan sisi yang berbeza kepada arena bola sepak negara.

Berdasarkan senario sejak lima musim lalu, ada saja pasukan yang gagal menjalankan tanggungjawab itu sehingga ia turut dibawa ke pengetahuan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

Antara kes terbesar yang diheret ke FIFA membabitkan tonggak import seperti Wander Luiz, Jonathan Lucca, Baze Illijosk dan Jonathan McKain dari pasukan Kelantan pada 2017 lalu dan terbaru membabitkan pasukan Kuantan FA, Felcra FC, FELDA United hingga menyebabkan ‘periuk nasi’ pemain tidak berasap.

Antara faktor utama yang menyebabkan isu tunggakan gaji berlaku disebabkan sikap pasukan yang tidak ‘mengukur baju di badan sendiri’ apabila terlalu ghairah memancing pemain ternama dengan tawaran gaji tidak masuk akal hingga menjejaskan keadaan kewangan sekali gus Liga M boleh digambarkan sebagai kancah yang menjerat leher pasukan.

Difahamkan, Liga M antara saingan paling lumayan di rantau Asia Tenggara dengan gaji pemain bintang tempatan mampu mencecah hampir RM70,000 manakala bagi pemain muda yang baharu meningkat naik harga bermula RM10,000.

Bagi tonggak import pula, ia sekitar AS$24,000 (RM100,000) hingga boleh mencecah ke AS$43,000 (RM180,000) sebulan dan itu belum termasuk klausa bonus tambahan yang lain.

Jika dibandingkan dengan Liga Thailand yang berada pada tahap kualiti lebih tinggi, amalan gaji mereka lebih rendah berbanding Liga M terutamanya Liga Super.

Berdasarkan tinjauan yang dilakukan Sukan NSTP, sekurang-kurangnya setiap pasukan perlu membelanjakan hampir RM8 juta hingga RM10 juta hanya untuk perbelanjaan gaji pasukan saja dan ia belum mengambil kira kos operasi pasukan seperti penginapan, pengangkutan, peralatan sukan, cukai serta caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Kos sentiasa meningkat, sedangkan pihak yang sudi menawarkan penajaan atau jumlah penajaan tidak selalunya naik, ditambah pula dengan jualan tiket yang sedikit terus memburukkan lagi ekosistem bola sepak Malaysia.

Maka tidak hairanlah mengapa semakin banyak kelab menarik diri dan ‘menutup kedai’ seperti mana yang berlaku kepada FELCRA FC, Terengganu City, Kuantan FA dan Sime Darby FC yang terpaksa menarik diri daripada beraksi di Liga M ekoran masalah kewangan.

Lantas, sudah tiba masanya FAM dan MFL kembali memperkenalkan semula gaji siling yang pernah dipraktikkan pada era pertengahan 1990an hingga 2000 sebelum pasaran jual beli pemain dibuka tanpa kawalan.

Diyakini dengan kembalinya gaji siling, dijangka masalah gaji pemain akan dapat diatasi selain mampu mewujudkan persaingan secara sihat tanpa adanya dominasi satu-satu pasukan.

Disiarkan pada: December 29, 2018 @ 1:47pm
d