arena

'Kami adalah Koulibaly'

Oleh AFP

MILAN: Ribuan peminat Napoli menunjukkan sokongan mereka terhadap pertahanan Senegal, Kalidou Koulibaly yang menjadi mangsa ejekan perkauman ketika aksi menentang Inter Milan, pertengahan minggu ini.

Ketika perlawanan Serie A yang menyaksikan Napoli menang 3-2 ke atas Bologna, semalam mereka memakai topeng gambar wajah Koulibaly selain mengibarkan kain rentang “Siamo Tutti Koulibaly” (Kami adalah Koulibaly) sebagai tanda sokongan penuh terhadap pemain itu di Stadio San Paolo.

Pemain kelahiran Perancis, Koulibaly menjadi sasaran penyokong lawan yang mengeluarkan bunyi-bunyian seperti monyet serta ejekan perkauman sebelum dia diarahkan keluar padang susulan tepukan sinis kepada pengadil.

Tiga hari selepas insiden itu yang turut menyaksikan seorang peminat Inter maut dilanggar kenderaan, aksi Serie A bersambung dan selain topeng, peminat turut mengenakan baju yang tertera nama Koulibaly.

Selain itu, kain rentang besar turut dipaparkan di depan stadium yang tertera, “Kami semua adalah Koulibaly: tidak kepada perkauman,” selain mengedarkan risalah di stadium yang bertulis “Abang besar Koulibaly” atau “Kami bersama anda Kalidou.”

Di antara mereka seorang peminat cilik memegang poster: “Saya kecil, tetapi lelaki sejati seperti Koulibaly.”

Di padang, pertahanan Napoli dari Algeria, Faouzi Ghoulam menggunakan jersi nombor Koulibaly, 26 ketika sesi pemanas badan selepas dia digantung perlawanan ketika aksi bertemu Inter.

“Tidak kira warna kulit. Tidak kira agama. Tidak kira pasukan apa yang anda sokong. Bola sepak, seperti semua sukan, ia adalah perlawanan.

“Semua pasukan adalah mengenai minat, kegembiraan dan kebebasan: Dalam kebebasan kita semua adalah sama! Esok kami semua adalah Koulibaly!,” tulis Ghoulam dalam Twitter.

Kesatuan Bolasepak Eropah (UEFA) menyatakan protokol anti perkauman yang betul tidak digunakan ketika perlawanan pertengahan minggu ini dengan jurulatih Napoli, Carlo Ancelotti berkata mereka bersetuju jika aksi Serie A itu dihentikan.

Disiarkan pada: December 30, 2018 @ 1:22pm
d