arena

Harga siling cadangan tepat - FAS

Oleh Firdaus Hashim dan Naqib Nor Said

Kuala Lumpur: Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) menganggap cadangan untuk memperkenalkan semula harga siling dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M) sebagai tepat ketika suasana ekonomi dunia yang tidak menentu ketika ini.

Setiausaha Agung FAS, Dr Johan Kamal Hamidon berkata, sewajarnya Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan pentadbir liga tempatan, Liga Bolasepak Malaysia (MFL) mengambil serius penetapan harga siling terhadap pemain tempatan dan import yang disifatkan terlalu mahal dan tidak masuk akal.

Jelasnya, setiap pasukan terpaksa membelanjakan hampir 80 peratus dana pasukan hanya untuk membayar gaji pemain dengan 20 peratus lagi bagi tujuan pengurusan operasi dan pembangunan skuad remaja.

"Saya sangat setuju jika penetapan harga siling digunakan di Liga-M bagi membendung isu kegagalan pembayaran gaji atau penutupan pasukan ekoran masalah kewangan.

"Cuba bayangkan dengan adanya harga siling ini, kita boleh jimat banyak kerana setiap pasukan sudah tentu perlu memperkuatkan hal-hal pengurusan seperti pemasaran, media, pentadbiran operasi, pembangunan akar umbi dan kejohanan di peringkat negeri.

"Berikutan keadaan ekonomi dunia yang tidak menentu, saya kira harga siling boleh membantu banyak pasukan untuk kekal kompetitif tanpa mengalami banyak masalah seperti tunggakan gaji dan sebagainya," katanya kepada Sukan NSTP.

Menerusi laporan khas Sukan NSTP semalam, kegagalan beberapa pasukan menjelaskan tunggakan gaji pemain dan jurulatih berpunca daripada tawaran gaji yang terlalu mahal berikutan tiadanya kawalan harga dalam pasaran jual beli pemain Liga-M.

Berdasarkan senario sejak lima musim lalu, ada saja pasukan yang gagal menjalankan tanggungjawab itu sehingga turut dibawa ke pengetahuan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

Antara kes terbesar diheret ke FIFA membabitkan tonggak import seperti Wander Luiz, Jonathan Lucca, Baze Illijosk dan Jonathan McKain dari pasukan Kelantan pada 2017 dan terbaru membabitkan pasukan Kuantan FA, FELCRA FC, FELDA United hingga menyebabkan ‘periuk nasi ’ pemain tidak berasap.

Difahamkan, Liga-M antara saingan paling lumayan di rantau Asia Tenggara dengan gaji pemain bintang tempatan mampu mencecah hampir RM70,000, manakala bagi pemain muda yang baharu meningkat naik harga bermula RM10,000.

Bagi tonggak import pula, ia sekitar AS$24,000 (RM100,000) hingga boleh mencecah ke AS$43,000 (RM180,000) sebulan dan itu belum termasuk klausa bonus tambahan yang lain.

"Mungkin ada yang mengatakan kenapa tidak berbelanja mengikut kemampuan saja, tapi kita kena faham apabila ada satu pasukan berbelanja besar dengan menawarkan gaji lumayan, ia tidak baik untuk persaingan liga secara sihat.

"Sebab itu akan ada juga pasukan yang sanggup mengambil risiko (tawar gaji tinggi) untuk mengurangkan jurang dengan pasukan berduit untuk mencabar kejuaraan. 

"Tapi jika adanya penyelarasan harga siling, maknanya semua pasukan mampu mendapatkan pemain yang sama dan tidak timbul masalah gaji atau ada pasukan tarik diri," katanya yang pernah terbabit secara aktif dalam saingan Liga Australia di peringkat semi-pro.

 

 

Disiarkan pada: December 30, 2018 @ 3:20pm
d