arena

BAM jangan bagi muka

Oleh Helmi Talkah

KUALA LUMPUR: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) diingatkan supaya tidak memberi muka dengan memberi layanan istimewa terhadap mana-mana pemain yang membuat keputusan meninggalkan badan induk itu.

Bekas pakar beregu lelaki kebangsaan, Datuk Seri Jalani Sidek berkata, tindakan itu dikhuatiri akan mengundang masalah kepada BAM selain menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan pemain yang sudah keluar daripada badan induk itu sebelum ini.

Terdahulu, beregu campuran negara, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying memohon BAM untuk membenarkan mereka menjalani latihan bersama skuad kebangsaan sekurang-kurangnya tiga kali seminggu yang mereka sifatkan boleh membantu prestasi pemain muda yang berada dalam badan induk itu.

Pasangan ranking nombor enam dunia itu membuat keputusan mengejut apabila menghantar surat peletakan jawatan sebagai pemain kebangsaan berkuatkuasa 1 Januari ini.

Ia bagi membolehkan mereka bergerak secara profesional dalam misi memburu slot ke Olimpik Tokyo 2020.

Bagi Jalani, jika pemenang pingat perak Olimpik Rio 2016 itu berani mengambil risiko dengan keputusan berkenaan, kedua-duanya juga perlu berani untuk mencabar diri sendiri yang mereka boleh berjaya tanpa bantuan BAM.

"Kalau mereka rasa mereka boleh 'hidup' dengan bergerak secara profesional, jadi kena buktikan. Jangan apabila sudah keluar, masih mahu mengharapkan bantuan BAM.

"Sepatutnya mereka beri laluan kepada pemain yang masih dalam BAM terutama pemain muda kerana fokus perlu lebih diberikan kepada mereka.

"Apabila buat keputusan untuk keluar BAM, mereka seharusnya sudah ada perancangan bagi meneruskan kerjaya. Ini bila sudah keluar tetapi masih mahu minta macam-macam daripada BAM.

"Situasi ini pastinya tidak adil bagi pemain lain yang keluar daripada BAM sebelum ini. BAM tidak mengambil sebarang tindakan ke atas mereka kerana keluar sudah boleh dikira baik," kata Jalani ketika dihubungi, hari ini.

Mengulas lanjut, Jalani, berkata jaguh perseorangan lelaki negara, Datuk Lee Chong Wei wajar dijadikan contoh terbaik kerana masih setia bersama BAM biarpun sudah meraih pelbagai kejayaan selain pernah turut berdepan konflik dengan badan induk itu.

"Dalam hal ini, Chong Wei contoh terbaik. Apapun yang berlaku, dia tetap setia kerana sedar hanya BAM mampu memberikan segala keperluan yang dimahukannya bagi terus meraih kejayaan di peringkat antarabangsa," katanya.

Ditanya mengenai gandingan Peng Soon-Liu Ying yang masih dilihat sebagai sandaran untuk meraih pingat di Olimpik Tokyo 2020 dan BAM wajar membantu, Jalani berkata: "Bagi saya perkara itu subjektif.

"Kalau mereka berani keluar, jadi mereka perlu buktikan. Mereka yang ambil risiko itu. Bukan BAM yang buang tetapi mereka yang keluar sendiri. Jadi, jika masih mengharapkan bantuan BAM, mengapa mahu keluar?" tanya Jalani yang memenangi pingat gangsa Olimpik Barcelona 1992 bersama pasangannya, Datuk Razif Sidek.

Disiarkan pada: December 30, 2018 @ 5:30pm
d