arena

Yiwen idam langkah kanan

Oleh Ferzalfie Fauzi

KUALA LUMPUR: Pemain skuasy negara, Chan Yiwen mengakui ia bukan tugas mudah untuk membawa pulang trofi Terbuka Remaja British walaupun dia antara tonggak harapan selain Siow Yee Xian, Aifa Azman, Aira Azman, Harith Daniel Jefri dan M Nickhileswar.

Menurut pemain kelahiran Kedah itu, dia baru saja sembuh dari kecederaan bukan lali dan menyambung kembali latihan selepas tiga minggu berehat.

"Secara jujur ia bukan tugas mudah di Terbuka Remaja British. Bagaimanapun, saya akan cuba mara sehingga ke separuh akhir selepas diletak sebagai pilihan kelima," katanya ketika dihubungi.

Sebelum ini Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM) memberi bayangan bahawa pemain yang berada pada Tahap 1 dan 2, sekurang-kurangnya perlu mara sehingga ke separuh akhir kejohanan berkenaan.

"Ia bukan mustahil untuk mara sehingga peringkat separuh akhir namun saya perlu berhati-hati dengan cabaran pemain dari Mesir terutama sekali Hania El Hammamy. Dia sekarang ini berada di ranking ke-21 dunia," kata Yiwen yang akan beraksi bagi kategori Bawah 19 Tahun.

Ditanya mengenai pencapaiannya pada 2017 (B-17) dan 2015 (B-15), Yiwen mengakui keputusan paling cemerlang dicatatkan adalah berada dalam lingkungan 16 terbaik.

"Saya beraksi dengan baik tahun ini dan berjaya memenangi beberapa kejuaraan, jadi saya berharap keupayaan itu mampu diteruskan di Terbuka Remaja British.

"Berdasarkan prestasi di kejohanan remaja, saya memang berpuas hati namun perlu bekerja lebih keras untuk mempersiapkan diri bagi jelajah profesional," katanya.

Tahun ini di Jelajah Malaysia IV, Yiwen berjaya mara sehingga ke separuh akhir sebelum tumpas kepada rakan senegara, Aifa.

"Karier saya dalam aksi remaja akan berakhir pada September tahun depan, jadi sasaran saya untuk mencari penamat gemilang sebelum fokus kepada era profesional," katanya yang meminati pemain Mesir, Raneem El Welily.

Pemain negara yang beraksi di Terbuka Remaja British berangkat ke England hari ini dan kejohanan berkenaan berlangsung dari 2 hingga 6 Januari 2019.

Disiarkan pada: December 30, 2018 @ 7:01pm
d