arena

Chelsea lega Kante ledak gol

Oleh AFP

LONDON: Chelsea terus berada di landasan terbaik untuk memburu tempat dalam kelompok tiga teratas Liga Perdana Inggeris apabila menang 1-0 ke atas seteru London, Crystal Palace di tempat lawan sebentar tadi, hasil jaringan N’Golo Kante di awal babak kedua.

Chelsea terpaksa bekerja keras untuk menembusi benteng Palace yang dalam tiga perlawanan terakhir mereka mengumpul tujuh mata, termasuk kemenangan mengejut ke atas juara bertahan Manchester City.

Selepas 35 minit pertama yang hambar, Willian menggegar tiang dengan sepakan percuma dan Ross Barkley turut menyaksikan percubaan akrobatiknya gagal menemui sasaran.

Kante bagaimanapun memecah kebuntuan pada minit ke-51 apabila meluru ke dalam kotak penalti Palace dan David Luiz pantas mengumpan bola kepada juara Piala Dunia bersama Perancis itu untuk meledak gol dari jarak dekat.

Pemain gantian Palace Conor Wickham mensia-siakan peluang keemasan tuan rumah untuk menyamakan kedudukan dengan tendangan yang melepasi palang di saat-saat akhir.

Chelsea kekal di tangga keempat liga, satu mata di belakang Manchester City – yang akan bermain sebentar lagi – dan dua mata di belakang Tottenham di tangga kedua, tetapi 11 mata ketinggalan di belakang pendahulu, Liverpool. Palace kekal di tangga ke-14.

 

Disiarkan pada: December 30, 2018 @ 10:21pm
d