arena

Lupakan gelaran jika tewas

Oleh AFP

SOUTHAMPTON: Pengendali Manchester City, Pep Guardiola memberi amaran kegagalan menewaskan Liverpool di Stadium Etihad pada awal pagi Jumaat bermakna usaha mereka memburu kejuaraan berakhir.

Juara bertahan itu merapatkan jurang dalam usaha mengekalkan trofi Liga Perdana dengan membenam cabaran Southampton 3-1 semalam selepas tewas mengejut kepada Crystal Palace dan Leicester.

Bagaimanapun City masih ketinggalan tujuh mata di belakang Liverpool yang kini menghuni kedudukan teratas.

David Silva membolehkan City mendahului pada minit ke-10 selepas mensia-siakan beberapa peluang awal dan memberikan ruang kepada Pierre-Emile Hojbjerg menyamakan kedudukan pada minit ke-37.

Namun situasi tidak menentu dalam corak permainan City berakhir apabila James Ward-Prowse menjaringkan gol sendiri dan tandukan Sergio Aguero sebelum berakhir separuh masa pertama membolehkan mereka mendahului 3-1.

Kekecewaan The Saints mencapai kemuncak apabila Pierre-Emile Kordt Hojbjerg dilayangkan kad merah susulan terjahan kasar terhadap Fernandinho pada lewat perlawanan.

“Kami sedar dengan kedudukan Liverpool, jika melepaskan mata, ia akan berakhir (persaingan merebut kejuaraan). “Ia akan menjadi hampir mustahil. Mereka akan melepaskan mata namun agak mustahil,” kata Guardiola.

Guardiola mengakui beliau tidak hilang kepercayaan kepada anak buahnya walaupun kecundang kepada Palace dan Leicester.

“Bagaimana saya boleh meragui mereka?” katanya. Bola sepak memang begitu. Kami mencipta peluang untuk mendahului 2-0 atau 3-0, kami melepaskan satu gol.

“Menentang Crystal Palace dan Leicester, mereka gembira dengan keputusan 1-1 dan mereka mendapat satu lagi jaringan. Saya sentiasa menilai usaha kami dalam perlawanan dan sikap mahu mencuba.”

Bekas pengendali Barcelona dan Bayern Munich itu menambah: “Kami menang banyak perlawanan namun malangnya tewas dua kali dan mempunyai pesaing (Liverpool) yang kini adalah pasukan terbaik di Eropah atau dunia.

“Ini adalah cabaran kepada kami pada awal pagi Juamat nanti, cuba menang dan mengekalkan posisi sebaik mungkin untuk bersaing merebut kejuaraan di penghujung musim nanti.”

Disiarkan pada: December 31, 2018 @ 9:04am
d