arena

Barcelona nafi langgar peraturan

Oleh AFP

BARCELONA: Juara Sepanyol, Barcelona mengesahkan minat untuk mendapatkan pemain tengah Paris Saint-Germain, Adrien Rabiot namun menafikan melanggar sebarang peraturan perpindahan.

“FC Barcelona merujuk kepada artikel disiarkan di Perancis berhubung usaha mendapatkan pemain dari Paris Saint-Germain dengan menjelaskan tidak melanggar sebarang peraturan berhubung perkara ini,” menurut satu kenyataan dikeluarkan kelab Sepanyol itu.

“Ia hanya dilakukan pada Ogos dan minggu lalu. Dalam dua kes ini, komunikasi dilakukan dengan pengurusan PSG untuk menunjukkan minat FC Barcelona terhadap Adrien Rabiot.”

Terdahulu PSG pada Disember berkata, mereka akan membenarkan pemain berusia 23 tahun yang tamat kontrak pada musim panas ini, menyertai kelab lain di penghujung musim susulan keengganannya menandatangani kontrak baru.

Ibunya yang juga bertindak sebagai ejen,Veronique Rabiot berkata, situasi hari berikutnya antara anaknya dengan juara Perancis itu sudah tidak dapat diselamatkan.

Barcelona yang digantung daripada mendapatkan pemain baru selama setahun pada 2014 kerana melanggar peraturan perpindahan pemain di bawah usia 18 tahun, menegaskan mereka tidak menandatangani sebarang perjanjian sebelum jendela perpindahan pemain pada 1 Januari.

“FC Barcelona sentiasa mahu bekerjasama dengan telus dalam perjanjian dengan PSG serta kelab lain,” tambah kenyataan itu.

“FC Barcelona menafikan kewujudan sebarang perjanjian dengan pemain PSG Adrien Rabiot.”

Rabiot tampil lebih 150 kali dalam saingan utama liga Perancis, sememangnya cuba untuk berhijrah sebelum ini. Dia turut menolak peluang berada dalam senarai menunggu bagi skuad Perancis yang menjulang Piala Dunia 2018.

Disiarkan pada: December 31, 2018 @ 10:07am
d