arena

Sumareh digantung empat aksi

Oleh Farah Azharie

KUALA LUMPUR: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengesahkan penyerang kebangsaan, Mohamadou Sumareh digantung empat aksi susulan tindakan kurang sopan terhadap pegawai perlawanan pada aksi final kedua Piala AFF 2018.

Penyerang kelahiran Gambia itu bukan sahaja digantung, malah Persekutuan Bolasepak Asia Tenggara (AFF) turut mendendanya AS$5,000 (RM21,000).

“FAM menerima keputusan membabitkan Sumareh itu semalam (Jumaat) dan pemain itu sah dikenakan denda serta penggantungan empat perlawanan,” kata Setiausaha Agung, Stuart Ramalingam.

Lantaran, layangan kad merah kepada pemain itu masih dianggap misteri dan dikatakan berlaku pada minit akhir perlawanan menentang Vietnam di Hanoi itu, FAM juga difahamkan sudah memohon ‘penjelasan’ lanjut mengenai isu berkenaan.

“Kami sudah memohon penjelasan dan akan mengemukakan rayuan terhadap penggantungan itu.

“Rayuan adalah untuk mengurangkan penggantungan perlawanan kerana hukuman bukan setakat untuk aksi AFF namun bagi aksi persahabatan kita selepas ini,” katanya.

FAM akan turut mengemukakan rayuan untuk mengurangkan jumlah denda penyerang terbabit namun keutamaan adalah untuk mengurangkan penggantungan yang akan dihadapi Sumareh.

Disiarkan pada: December 31, 2018 @ 10:18am
d