arena

PFAM tak sokong had gaji pemain

Oleh Firdaus Hashim dan Naqib Nor Said

KUALA LUMPUR: Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM) melihat cadangan untuk memperkenalkan semula harga siling terhadap Liga Malaysia (Liga-M) sebagai bukan jalan penyelesaian terbaik dalam mengatasi masalah tunggakan gaji pemain.

Sebaliknya, Presiden PFAM Rezal Zambery Yahya percaya langkah itu hanya akan membawa kepada berlakunya masalah lebih besar kerana akan mewujudkan isu pemain menandatangani kontrak dengan dua atau tiga pasukan berasingan dalam tempoh yang sama.

“Pada pandangan saya kita tidak boleh mengehadkan tangga gaji pemain kerana pernah berlaku satu ketika dahulu pemain menandatangani dua atau tiga kontrak.

“Ia akan lebih menyusahkan dan merumitkan semua pihak seperti yang terjadi sebelum ini.

“Ini kerana ada pemain mengikat dua kontrak selepas ada pasukan yang sudi membayar gaji lebih daripada yang ditetapkan, termasuk membuat perjanjian ‘bawah meja’,” kata Rezal Zambery yang juga bekas pemain tengah negara.

Kata-katanya itu pastinya merujuk kepada insiden pemain yang sudah mengikat kontrak dengan pasukan A, namun pada akhirnya bertindak menandatangani bersama pasukan B selepas dijanjikan elaun tambahan yang tidak dimasukkan dalam perjanjian asal.

Menerusi laporan Sukan NSTP sejak kelmarin, banyak pasukan bergelut untuk menampung kos perbelanjaan yang mencecah jutaan ringgit semusim sekali gus membawa kepada wujudnya isu tunggakan gaji pemain.

Malah, Rezal Zambery turut menolak cadangan untuk memperkenalkan semula harga siling (gaji maksimum) pemain yang dianggapnya sebagai tidak relevan dengan dunia bola sepak moden.

“Masalah itu berpunca daripada pihak pengurusan pasukan itu sendiri yang gagal menguruskan soal perbelanjaan dengan baik sehingga menyebabkan ada yang terpaksa ‘tutup kedai’.

“Sekiranya ada pasukan mampu berbelanja lebih untuk dapatkan pemain berkualiti, biarlah. Bagi yang tidak mampu, berbelanjalah mengikut kemampuan sendiri.

“Tetapi kalau ada cadangan untuk memperkenalkan gaji minimum pemain, saya rasa ia harus diketengahkan terutamanya buat saingan Piala Presiden.

“Saya melihat gaji diterima pemain muda, dianggarkan sekitar RM1,000, sebagai tidak mencukupi dengan kos sara hidup yang tinggi ketika ini.

“Perkara sebegini kita perlu ambil kira kerana mereka menjalani latihan setiap hari dan baru hendak membina karier, dengan pendapatan sebanyak itu tidak cukup untuk mereka memberi komitmen sepenuh masa,” katanya.

Disiarkan pada: December 31, 2018 @ 10:23am
d