arena

MFL 'tak lepas pandang' Perlis

Oleh Aziman Rosdi

KUALA LUMPUR: Liga Bolasepak Malaysia (MFL) menafikan mereka 'beri muka' kepada Perlis apabila membenarkan skuad Singa Utara itu beraksi dalam Liga Perdana musim depan.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif badan pentadbir Liga Malaysia itu, Kevin Ramalingam menyatakan bahawa pihaknya tidak sewenang-wenangnya memberi kebenaran kepada Perlis yang sepatutnya beraksi dalam Piala FAM.

Tegasnya, Perlis perlu mematuhi segala kriteria yang ditetapkan termasuk melangsaikan tunggakan gaji pemain dan pegawai jika tidak mahu 'disaman' RM1 juta oleh MFL.

"Ada pihak kata kami berlembut dengan Perlis tapi pada saya persepsi itu tidak betul. Jika sebelum ini kami mendenda pasukan yang melakukan kesalahan sebanyak RM500,000, kali ini kami akan 'saman' Perlis lebih tinggi iaitu RM1 juta kalau tak patuhi peraturan yang ditetapkan.

"Maksud saman di sini, kami akan tahan geran tahunan mereka sebanyak RM1 juta jika mereka gagal melangsaikan segala hutang dalam tempoh 60 hari. Duit geran itu akan kami gunakan untuk menyelesaikan bayaran hutang berkenaan. Jadi kami tidak ambil mudah dengan membenarkan Perlis menyertai Liga Perdana.

"Ini adalah antara cara untuk kami membantu menyelesaikan hutang gaji pemain dan pegawai Perlis tertunggak sebelum ini. Kalau kami tidak membenarkan Perlis menyertai Liga Perdana, adakah masalah itu akan selesai?, kata Kevin.

Sebelum ini ada pihak tidak bersetuju dengan keputusan MFL menaikkan Perlis untuk mengiringi UKM FC dan Terengganu FC II ke Liga Perdana.

Selain dihimpit masalah hutang gaji pemain, Perlis menduduki tangga tercorot Kumpulan B, Piala FAM selepas Marcera dan Hanelang FC menarik diri.

Kevin berkata, mereka mengkaji dengan teliti permohonan Perlis dan pasukan lain menerusi nama pasukan yang dicalonkan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

"Dua lagi pasukan yang layak ke separuh akhir Piala FAM PJ Rangers dan MOF sudah tarik diri, jadi kita pilih calon pasukan lain yang berminat mengemukakan permohonan dan Perlis kita lihat mempunyai persiapan pasukan yang baik serta perancangan untuk menstabilkan kewangan.

"Pada saya isu pemilihan Perlis tidak perlu diperbesarkan kerana ia hanya dicetuskan oleh sesetengah pihak yang tidak senang dengan kewujudan MFL dari awal," jelasnya.

Disiarkan pada: December 31, 2018 @ 6:05pm
d