arena

Stadium Hoki Nasional mula diselenggara

Oleh Saiful Affendy Sapran

KUALA LUMPUR: Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil akan ditutup bermula 11 Februari depan untuk kerja-kerja baik pulih selepas mengalami kerosakan.

Difahamkan kerja-kerja baik pulih itu akan mengambil masa enam minggu dengan kos baik pulih itu masih di bawah jaminan kontraktor.

"PSM (Perbadanan Stadium Malaysia) akan mengeluarkan kenyataan media dalam tempoh terdekat," kata Timbalan Presiden dan Pengerusi Pertandingan MHC, George Koshy ringkas.

Sukan NSTP semalam melaporkan desakan Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (MHC), Datuk Seri Subahan Kamal yang meminta PSM memberi maklum balas segera sama ada dua padang di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil dapat digunakan untuk Final Siri Hoki yang berlangsung dari 26 April sehingga 4 Mei tahun ini.

Ini selepas padang 2 dilaporkan tidak dapat digunakan untuk saingan Liga Hoki Malaysia bermula dengan perebutan Piala Tan Sri P Alagendra bermula Khamis ini berikutan permukaan padang yang tidak rata.

Kedua-dua padang itu baru saja dinaik taraf sebelum berlangsungnya temasya Sukan SEA Kuala Lumpur (KL2017), Ogos tahun lalu.

Malaysia mendapat hak untuk menjadi tuan rumah kepada Final Siri Hoki dengan dua pasukan terbaik daripada kejohanan itu akan mara ke Acara Final Kelayakan Olimpik hujung tahun depan yang menjadi peringkat terakhir sebelum layak beraksi di Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Selain Malaysia selaku tuan rumah, pasukan lain yang turut mengambil bahagian ialah Austria, Kanada, Itali, Wales, Vanuatu, China dan Brazil.

 

 

Disiarkan pada: December 31, 2018 @ 6:16pm
d