arena

'Kami masih lagi pilihan'

Oleh AFP

DOHA: Jaguh nombor satu dunia, Novak Djokovic menyatakan empat kuasa tenis – dia, Roger Federer, Rafael Nadal dan Andy Murray – masih kekal menjadi pilihan untuk menguasai gelaran Grand Slam tahun ini.

Walaupun faktor usia, kecederaan dan jangkaan beberapa bintang muda akan terus meletus pada kempen tahun ini, Djokovic menegaskan empat pemain veteran itu kekal sebagai pemain yang perlu ditumbangkan.

“Saya fikir jika kami cergas dan beraksi cemerlang, kami berempat masih mempunyai peluang cerah menguasai saingan Grand Slam,” kata Djokovic di sini, menjelang aksi pembukaan musim Terbuka Qatar.

Djokovic menjadi pilihan untuk mendominasi 2019 selepas menamatkan musim lalu di kedudukan terbaik, bangkit daripada masalah kecederaan untuk menyambar gelaran Wimbledon dan Terbuka Amerika Syarikat.

Pencabarnya, terutama Nadal dan Murray masih bergelut dengan isu kecergasan, sekali gus meningkatkan peluang jaguh Serbia itu menambah koleksi 14 gelaran Grand Slam dimenanginya setakat ini.

Satu lagi trofi utama membolehkannya memintas rekod Pete Sampras untuk muncul pemain ketiga terbanyak memenangi Grand Slam di belakang Federer (20) dan Nadal (17).

Sejak 2010, kuartet yang digelar ‘empat nama besar’ itu sudah menjulang keseluruhan 32 gelaran Grand Slam antara mereka dengan Djokovic sebanyak 13 trofi.

Bagaimanapun, Djokovic menegaskan betapa ‘generasi akan datang’ sudah menampakkan taringnya dengan menamakan pemain nombor empat dunia dari Jerman, Alexander Zverev, Borna Coric dari Croatia (12) dan Stefano Tsitsipas dari Greece (15) sebagai ancaman utama.

Disiarkan pada: January 1, 2019 @ 10:10am
d