arena

Kante makin selesa

Oleh AFP

LONDON: N’Golo Kante menegaskan dia akhirnya selesa memainkan peranan baharu di bahagian tengah Chelsea ketika bintang Perancis itu bersedia menentang Southampton, awal pagi Khamis ini.

Kante meraih reputasi selaku pemain tengah bertahan terbaik dunia selepas aksi cemerlang bersama Chelsea dan Leicester bagi gelaran Liga Perdana Inggeris selain kejayaan Piala Dunia bersama Perancis.

Namun pemain berusia 27 tahun itu sudah menyesuaikan diri dengan perubahan posisi musim ini di bawah kendalian pengurus baharu Chelsea, Maurizio Sarri.

Sarri yang menggantikan Antonio Conte pada hujung musim, membawa bersamanya Jorginho dari Napoli untuk bermain di bahagian tengah, di depan pertahanan yang biasanya menjadi tugas Kante.

Sarri percaya hantaran Jorginho lebih baik dan sesuai untuk melancarkan serangan Chelsea berbanding Kante, yang kini bermain lebih depan di kanan bahagian tengah.

Kante kadangkala tampak tidak biasa dengan posisi baharunya musim ini tetapi menunjukkan tanda sudah biasa apabila Ahad lalu menjaringkan gol tunggal kemenangan berdepan Crystal Palace dengan larian baik dan penyudah tenang.

“Peranan ini sesuatu yang saya suka dan dalam permainan saya cuba melakukan larian sebegitu,” kata Kante.

“David (Luiz) melakukan hantaran baik kepada saya dan saya gembira menjaringkan gol dengan kaki kiri dan menyumbang kepada pasukan.”

Kemenangan di gelanggang lawan di Watford dan Palace menceriakan sambutan Krismas buat Chelsea.

Namun ketika Blues masih ketinggalan 11 mata di belakang pendahulu Liverpool, impian kejuaraan mereka mungkin sukar ketika mereka menumpukan usaha layak ke Liga Juara-Juara sebagai empat pasukan teratas.

Disiarkan pada: January 1, 2019 @ 11:01am
d