arena

Tak jujur punca sukar laksana

Oleh Firdaus Hashim dan Naqib Nor Said

KUALA LUMPUR: Sikap tidak jujur pasukan dalam memancing pemain mungkin menyebabkan cadangan untuk memperkenalkan semula harga siling dalam Liga Malaysia (Liga-M) sebagai tidak relevan kerana ia mampu mengheret isu tunggakan gaji pemain ke satu tahap yang lebih parah.

Pensyarah Kanan Sains Kejurulatihan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Dr Zulakbal Abd Karim berkata, ia bukan bermakna kaedah itu tidak dapat menyelesaikan isu tunggakan gaji, namun berdasarkan pengalaman lalunya terdapat salah guna dan penipuan menerusi pengenalan harga siling.

Justeru, bukanlah sesuatu yang menghairankan jika langkah memperkenalkan semula harga siling boleh dianggap sebagai mustahil.

“Sebenarnya harga siling ini boleh diperkenalkan semula, tetapi kalau betul-betul hendak buat ia perlukan penguatkuasaan yang lebih ketat.

“Ini kerana akan terjadi isu pemain menandatangani dua kontrak kerana inginkan pendapatan yang lebih lumayan.

“Sebagai contoh, kontrak A adalah perjanjian rasmi yang disimpan oleh pasukan dengan salinannya diserahkan kepada FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia), kontrak B pula perjanjian antara pemain dan majikan sendiri.

“Isu sebenarnya berpunca daripada kontrak B kerana kontrak ini dibuat tanpa pengetahuan FAM dalam makna kata lain perjanjian ‘bawah meja’ yang mana mereka ditawarkan gaji tambahan diluar daripada apa yang dijanjikan dalam kontrak A,” katanya.

Malah, Zulakabal tidak menolak penguatkuasaan yang amat lemah oleh FAM satu ketika dulu menyebabkan kegagalan terhadap kaedah harga siling sebelum mereka kini memperkenalkan pasaran jual beli secara terbuka.

“Sebelum ini penguatkuasaan oleh FAM amat lemah hingga (penipuan dari segi tangga gaji pemain) berleluasa sebab itu terjadi isu tunggakan dan sebagainya,” katanya yang juga Pengajar Elit Konfederasi Bolasepak Asia (AFC).

Terdahulu, NSTP Sukan dalam laporan sejak Sabtu lalu mendapati keghairahan pasukan liga tempatan menawarkan tangga gaji yang cukup tinggi tanpa ada had maksimum menyaksikan banyak pasukan gagal melunaskan gaji pemain hingga ada terpaksa menarik diri berikutan masalah kewangan teruk.

Disiarkan pada: January 1, 2019 @ 12:26pm
d