arena

Keputusan MFL kepada Perlis tepat

Oleh Firdaus Hashim

KUALA LUMPUR: Bekas jurulatih Petaling Jaya Rangers Football Club (PJ Rangers), Hassan Sazali Waras mengakui tindakan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) memberikan slot Liga Perdana kepada Perlis keputusan tepat.

Beliau berkata, tindakan MFL memilih keupayaan Singa Utara bersaing dalam divisyen dua itu musim depan adalah lebih baik berbanding mengambil kira kedudukan penamat Piala FAM musim lalu yang dilihat agak subjektif kerana saingan dipecahkan kepada dua kumpulan.

“Ini subjektif. Kadang-kadang kita tidak boleh menganggap pasukan nombor tiga di Kumpulan A adalah lebih baik daripada pasukan nombor lima di Kumpulan B. Jika saingan Piala FAM hanya satu kumpulan seperti Liga Perdana atau Liga Super, mudah untuk kita tentukan siapa layak.

“Seperti saya katakan tadi, akhirnya ia akan berbalik kepada kekuatan pengurusan dan jika kita lihat, Perlis mempunyai ciri-ciri lebih baik apatah lagi mereka memiliki tapak penyokong lebih besar jika dibandingkan dengan pasukan lain dalam Liga FAM,” katanya.

Isu Perlis yang sepatutnya kekal bersaing dalam Piala FAM namun dinaikkan pangkat ke Liga Perdana musim depan menjadi pertikaian beberapa pihak.

Ini kerana mereka menganggap skuad Singa Utara itu tidak layak kerana hanya menamatkan kempen Piala FAM di tangga tercorot Kumpulan B membabitkan lima pasukan selepas Hanelang FC dan Marcerra United FC menarik diri.

PJ Rangers yang menduduki tangga kedua Kumpulan B dan layak ke separuh akhir bersama MOF antara calon terbaik untuk mendapat satu slot ke Liga Perdana namun dua kelab itu menarik diri selepas kempen liga berakhir.

Melihat kepada situasi yang dialami bekas kelabnya, Hassan mempunyai sebab untuk menyokong keputusan MFL untuk memilih Perlis berbanding pasukan lain.

“Kita tahu beberapa pasukan yang bersaing di Liga FAM tidak memiliki kekuatan kukuh daripada segi kewangan. Banyak pasukan sudah menarik diri antaranya PJ Rangers sendiri walhal kami berjaya layak ke separuh akhir Piala FAM.

“Saya melihat keputusan Perlis diberikan slot Liga Perdana bukan satu langkah ke belakang kerana saya percaya MFL sudah menilai semua aspek.

“Kita sendiri boleh lihat pengurusan Perlis sudah bertambah baik musim ini dan saya sendiri percaya MFL akan menawarkan slot Liga Perdana kepada PJ Rangers sendiri jika kami tidak menarik diri daripada saingan Liga M,” katanya.

 

Disiarkan pada: January 1, 2019 @ 3:29pm
d