arena

FELDA United janji lunas gaji

Oleh Firdaus Hashim

KUALA LUMPUR: Kedatangan tahun baharu 2019 hari ini nyata menghadirkan perkhabaran cukup gembira buat anggota pasukan FELDA United apabila pengurusan The Fighters memberi jaminan akan menyelesaikan tunggakan gaji mereka.

FELDA United sebelum ini didakwa gagal melunaskan gaji pasukan bermula September hingga November lalu dan mereka turut gagal mencarum bayaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) selama lima bulan.

Presiden kelab, Datuk Ab Ghani Mohd Ali berkata, hasil pertemuan dengan Pengerusi FELDA, Tan Sri Megat Zaharuddin Megat Mohd Nor pada 28 Disember lalu, pihak pengurusan komited untuk menyelesaikan tunggakan berkenaan dan akan diselesaikan dalam masa terdekat.

"Dalam perjumpaan itu, Tan Sri  (Megat Zaharuddin) bersetuju memberi jaminan bagi menyelesaikan segala tunggakan yang dihadapi oleh pasukan secara berperingkat dalam masa terdekat.

"Sememangnya pihak pengurusan FELDA United bertanggungjawab sepenuhnya dan akan mematuhi segala    hak mereka yang terbabit seperti yang sudah dipersetujui dan dinyatakan dalam kontrak mereka (pemain dan jurulatih).

"Itu adalah hak mutlak mereka yang tidak boleh dipertikaikan. Mereka berhak untuk bersuara selepas bertungkus-lumus pada musim lalu sehingga The Fighters berjaya menjulang Piala Liga Perdana 2018," kata Ghani.

FELDA United yang diturunkan ke Liga Perdana selepas gagal mendapatkan lesen kebangsaan 2017 berjaya kembali ke Liga Super musim ini selepas muncul juara saingan liga divisyen dua pada musim lalu.

Jelasnya lagi, bagaimanapun pihaknya meminta supaya diberikan sedikit masa sebelum ia mula dibayar kepada semua pemain dengan majoriti anggota skuad sudah berhijrah ke pasukan lain.

"FELDA United memerlukan sedikit masa bagi menyelesaikan perkara ini. Umum mengetahui bahawa masalah kewangan pasukan berkait rapat dengan masalah kewangan FELDA yang membelenggu bukan sahaja FELDA United malah keseluruhan organisasi serta   

komuniti peneroka seluruh Malaysia.

"Badan induk FELDA juga sudah membuat perancangan yang teliti dalam menyelesaikan isu yang dihadapi. Malah, sebelum ini pasukan tidak pernah menghadapi masalah tunggakan gaji kepada mana-mana jurulatih dan pemain, malah kami sangat mementingkan kebajikan mereka," katanya.

 

Disiarkan pada: January 1, 2019 @ 3:48pm
d