arena

TNB sasar dua terbaik LHM

Oleh Saiful Affendy Sapran

TENAGA Nasional Berhad (TNB) diletakkan sasaran tinggi untuk meraih kedudukan dua terbaik Liga Perdana dalam Liga Hoki Malaysia TNB bermula 11 Januari ini sekali gus cuba memenangi trofi.

Pengurus Besar Hal Ehwal Korporat TNB, Datuk Omar Sidek berkata, ia sasaran realistik mengambil kira kekuatan TNB yang dibarisi 10 pemain kebangsaan.

“Kami letakkan sasaran yang boleh dicapai buat skuad senior TNB. Manakala untuk pasukan remaja (TNB Thunderbolts) mereka juga disasarkan untuk berada dalam kedudukan podium.

“Kami sentiasa percaya kepada projek pembangunan dan atas faktor itu, kami masih lagi mengekalkan 100 peratus pemain tempatan tanpa menggunakan tonggak import.

“Saya yakin dan percaya kalau antara mereka ini mampu mewakili pasukan kebangsaan, mereka juga pasti dapat tewaskan pasukan lain walaupun tanpa pemain import.

“Jadi ingin saya tegaskan TNB turun beraksi untuk menang bukan sekadar menjadi pasukan pelengkap. Kalau pasukan pelengkap kami boleh hantar banyak pasukan lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika majlis penyerahan tajaan RM4 juta kepada MHC musim ini serta memperkenalkan barisan pemain TNB dan TNB Thunderbolts.

Ia baki penajaan terakhir menerusi nilai tajaan berjumlah RM20 juta dari 2015 hingga 2019.

Disiarkan pada: January 2, 2019 @ 6:14pm
d