arena

City tagih bisa De Bruyne

Oleh AFP

MANCHESTER: Kevin de Bruyne dijangka kembali daripada kecederaan dalam usaha Manchester City menamatkan rekod tanpa kalah Liverpool sepanjang kempen Liga Perdana Inggeris musim ini, sekali gus merapatkan jurang dengan pendahulu itu.

Kepulangan De Bruyne mampu memberi kelebihan buat City untuk menewaskan Liverpool yang kini mendahului liga dengan kelebihan tujuh mata ke atas pesaing terdekatnya itu yang juga juara bertahan.

Selain daripada itu kemenangan ke atas anak buah Jurgen Klopp mampu mengubat duka City kendalian Pep Guardiola yang tewas tiga daripada lima perlawanan terakhir liga.

De Bruyne, pemain tengah 27 tahun dari Belgium serta pemain terbaik City tahun lalu, dibelenggu kecederaan musim ini di mana dia hanya tampil dalam enam perlawanan liga.

Dia terpaksa berehat daripada Ogos hingga akhir Oktober akibat kecederaan lutut, kemudian mengalami masalah di bahagian betis pada awal November yang memaksanya berehat lebih sebulan.

Selepas kembali beraksi pertengahan bulan lalu, masalah otot pula menimpanya ketika kekalahan di Leicester pada Boxing Day.

“Dia berlatih hari ini,” kata Guardiola yang berharap dapat menurunkan De Bruyne pada perlawanan menentang Liverpool awal pagi Jumaat ini.

‘Esok (hari ini) kami perlu memeriksanya sekali lagi di sebelah pagi tetapi keadaannya lebih baik.”

Disiarkan pada: January 3, 2019 @ 12:17am
d