arena

Aksi cemerlang Ashleigh

Oleh Reuters

PERTH: Ashleigh Barty menewaskan bekas pemain nombor satu dunia Garbine Muguruza ‘straight set’ untuk membuka laluan kemenangan 2-1 Australia ke atas Sepanyol dalam Piala Hopman, malam tadi.

Beraksi tangkas, Ashleigh tidak kehilangan servis ketika menang 6-3, 6-4 sebelum bergandingan dengan Matthew Ebden menewaskan pasangan Garbine dan David Ferrer 3-4(3), 4-3, 4-3(3) dalam acara beregu sekali gus kemenangan kedua berturut-turut dalam kejohanan itu.

Ferrer pula mengambil kesempatan di atas 42 ‘unforced errors’ Ebdens sebelum menang 7-6(1), 7-5 untuk mengikat keputusan 1-1 namun di sebalik prestasi baiknya, pemain veteran Sepanyol itu enggan menarik kembali keputusan untuk bersara tahun ini.

“Prestasi saya OK cuma masalahnya ialah saya tidak boleh beraksi lebih dua perlawanan. Saya 100 peratus akan tamatkan karier di Madrid,” kata Ferrer.

Dalam aksi sebelum itu, naib juara tahun lalu, Jerman menewaskan Perancis 2-1 untuk menduduki tangga teratas Kumpulan A untuk kemenangan kedua berturut-turut sekali gus mencerahkan peluang mara ke final pada Sabtu ini.

Juara Wimbledon, Angelique Kerber bangkit daripada ketinggalan set pertama sebelum menewaskan Alize Cornet 5-7, 6-2, 6-4 untuk kemenangan kedua berturut-turut dalam acara perseorangan. Dia menewaskan pemain Sepanyol, Garbine dalam aksi pembukaan.

Alexander Zverev memastikan kemenangan Jerman selepas bekerja keras menewaskan Lucas Pouille 6-3, 6-7(8), 6-2 sebelum Perancis meraih kemenangan dalam acara beregu campuran.

Disiarkan pada: January 3, 2019 @ 12:49pm
d