arena

MFL kendali Piala FAM

Oleh Farah Azharie

KUALA LUMPUR: Format pertandingan Piala FAM masih belum diputuskan namun Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menegaskan hak pertandingan divisyen tiga itu kekal menjadi milik mereka walaupun tanggungjawab menguruskannya diserahkan kepada Liga Bolasepak Malaysia (MFL).

"Bagi divisyen tiga Liga Malaysia, ia dijalankan secara kalah mati yang dilihat sebagai pertandingan pembangunan kepada pemain amatur.

Secara umumnya divisyen tiga hingga lima, sebanyak 120 pasukan berpeluang untuk bertanding namun cara terperinci untuk melaksanakannya masih dibincangkan termasuk jumlah pasukan yang bertanding, bagaimana dan bila ia berlangsung.

"Saat ini kami mahu memastikan terdapat peranan yang jelas bagi memastikan kelab bola sepak dari segi operasi dan badan induk negara seiring dengan MFL," kata Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam.

Keputusan FAM tidak mengendalikan Piala FAM akan membolehkan mereka memberi fokus kepada pertandingan peringkat remaja terutamanya Piala Belia selain pasukan kebangsaan.

"Tanggungjawab kami dalam beberapa tahun nanti adalah memberi fokus kepada pertandingan peringkat remaja yang kurang mendapat perhatian umum sebelum ini," katanya.

Terengganu City FC muncul juara Piala FAM tahun lalu dengan menewaskan Selangor United sekali gus mendapat tiket ke Liga Perdana musim ini.

Bagaimanapun, mereka terpaksa menarik diri selepas gagal membayar gaji pemain dan digantikan dengan Terengganu FC II.

 

 

Disiarkan pada: January 3, 2019 @ 6:36pm
d