arena

KFA perlu sedia 'RM103,000' ke CAS

Oleh Zulfaizan Mansor

KUALA LUMPUR: Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) perlu menampung kos besar yang boleh mencecah hingga AS$25,000 (kira-kira RM103,000) bagi membawa kes pemain tengah Akhyar Rashid ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS).

Pengarah Urusan Action Football Asia (M) Sdn Bhd, Effendi Jagan Abdullah berkata, jumlah anggaran itu termasuk pengangkutan, hotel dan kos perbelanjaan lain termasuk yuran untuk perbicaraan kes.

“Pertama sekali KFA kena kumpul semua bukti yang mereka ada. Bagi prosedur dengan FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia), yang terakhir adalah (keputusan jawatankuasa) rayuan.

“Sekarang ini KFA boleh bawa kes itu ke FIFA (Persekutuan Bolasepak Antarabangsa) dan selepas itu baru ke CAS,” kata Effendi yang berpengalaman dalam beberapa kes pemain termasuk membantu perbicaraan bekas penjaga gol skuad bawah 23 (B-23) tahun, Ahmad Syihan Hazmi Mohamed yang gagal ujian doping pada Jun lalu.

“Tapi KFA boleh juga bawa kes itu terus ke CAS, cuma (kosnya) agak tinggi membabitkan banyak perbelanjaan, mungkin boleh mencecah AS$25,000 atau mungkin lebih lagi.”

Bagi prosedur biasa hanya membabitkan kos dan yuran yang sederhana dan ia dikira mengikut skala tetap pembiayaan, ditambah dengan bahagian kos CAS termasuk yuran awal untuk pejabat mahkamah sebanyak 1,000 Swiss franc (RM4,200).

Kes Akhyar dilihat tidak mungkin selesai dalam masa terdekat selepas KFA kekal dengan keputusan untuk membawa isu itu ke CAS bagi memastikan tiada lagi kes pemain keluar ikut “pintu belakang.”

Perkara itu disahkan Presiden KFA, Datuk Seri Mukhriz Mahathir semalam yang menjelaskan mereka hanya akan berpuas hati selepas menerima keputusan CAS.

Selain itu, timbul persoalan adakah Akhyar boleh beraksi untuk JDT dengan tempoh sebulan lagi sebelum bermula Liga Malaysia (Liga-M) kerana difahamkan perbicaran kes di CAS turut mengambil masa antara enam hingga 12 bulan untuk selesai.

Namun, Effendi berkata, beliau difahamkan tempoh masa untuk menyelesaikan perbicaraan bergantung kepada jenis kes.

“Ada kes yang boleh diselesaikan dalam tempoh tiga bulan dan ada juga yang boleh berlarutan antara enam hingga 12 bulan. Bagi kes yang terdesak, mahkamah juga perlu dimaklumkan untuk menyelesaikan kes itu dengan pantas.

“Tapi kalau kes itu tergantung, Akhyar mungkin tidak boleh beraksi selagi kes itu tak selesai,” katanya.

Disiarkan pada: January 3, 2019 @ 8:10pm
d