arena

'Budak 18 tahun' singkir Caroline

Oleh AFP

AUCKLAND: Pilihan utama Caroline Wozniacki tersingkir pada pusingan kedua kejohanan Klasik Auckland WTA hari ini selepas tewas dalam dua set di tangan pemain Kanada berusia 18 tahun, Bianca Andreescu.

Ia satu tamparan hebat buat bintang Denmark, Caroline yang mahu beraksi sebanyak mungkin di Auckland dalam persiapan untuk mempertahankan mahkota kejuaraan Terbuka Australia.

Dia tunduk 4-6, 4-6 kepada pemain remaja Kanada itu yang menghuni ranking ke-152 dunia dan terpaksa mengharungi pusingan kelayakan sebelum layak ke undian utama.

“Secara jujur, saya tidak mempercayainya,” kata Bianca yang hampir tidak dapat berkata apa-apa selepas menewaskan Caroline dan mencipta pertemuan suku akhir menentang Venus Williams yang mara menerusi kemenangan 6-4, 6-3 ke atas rakan senegara dari Amerika Syarikat, Lauren Davis.

“Saya memang mengimpikan bermain di tahap ini menentang pemain hebat dan kini saya berada di sini beraksi menentang seorang daripada yang terbaik dan saya menang jadi saya tak tahu nak kata apa-apa.

“Saya berjaya melepasinya. Saya tak tahu bagaimana. Saya hanya berjuang hingga ke penamat.”

Disiarkan pada: January 3, 2019 @ 8:50pm
d