arena

'Keputusan di tangan Eriksen...'

Oleh AFP

LONDON: Pengurus Tottenham, Mauricio Pochettino menyatakan pemain tengah Christian Eriksen berhak menentukan masa depannya di kelab lain sekalipun beliau mahu dia mengikat kontrak baru jangka panjang.

Eriksen, 26, seorang daripada bintang Spurs sejak beberapa tahun terakhir ketika mereka mencabar kejuaraan Liga Perdana Inggeris namun rundingan kontrak barunya dilaporkan menemui jalan buntu.

Pemain kebangsaan Denmark itu berakhir kontraknya pada musim panas 2020 namun jika dia tidak menandatangani kontrak baru hujung musim ini, Spurs mungkin terpaksa mendengar tawaran untuk mengetahui nilai sebenarnya.

“Saya bukannya seorang yang terseksa dengan situasi sebegini kerana bola sepak adalah dinamik,” kata Pochettino menjelang aksi pusingan ketiga Piala FA Inggeris menentang Tranmere di gelanggang lawan awal pagi esok.

“Bola sepak adalah mengenai minat yang mana sebagai pengurus atau ketua jurulatih kami kadangkala tidak boleh tangani. Ia bergantung kepada beberapa perkara dalam perniagaan ini - pihak berbeza yang mempunyai minat.

“Adalah fantastik jika Christian Eriksen boleh komited bersama kelab ini dalam jangka masa panjang dan jika tidak memang hak dia untuk melakukan apa yang dimahukannya,” katanya.

Masa depan beberapa pemain lain turut menjadi tumpuan bulan ini ketika mereka dijangka meninggalkan kelab itu.

Pemain yang kurang mendapat perhatian Fernando Llorente, Vincent Janssen dan Georges-Kevin Nkoudou dijangka meninggalkan kelab itu namun pemain tengah ternama Mousa Dembele mungkin mengikut jejak langkah mereka.

Pemain tengah Belgium itu hanya berbaki enam bulan dalam kontrak semasanya dan dengan tiada berita mengenai sambungan kontrak, Spurs mungkin mendengar tawaran pada jendela perpindahan bulan ini jika tidak mahu kehilangannya secara percuma pada musim panas akan datang.

Disiarkan pada: January 4, 2019 @ 12:46am
d