arena

Monaco ikat Naldo

Oleh AFP

MONACO: Pertahanan Brazil, Naldo sah menyertai Monaco dari Schalke 04, umum kelab Ligue 1 itu yang kini bergelut di kedudukan ke-19 liga Perancis. 

Pemain berusia 36 tahun itu yang sudah membuat empat penampilan antarabangsa menandatangani perjanjian sehingga Jun 2020, selepas 14 musim di Bundesliga bersama Werder Bremen, Wolfsburg dan Schalke.

“Selamat datang kepada Naldo, pertahanan yang mempunyai pengalaman beraksi di tahap tertinggi dan dikenali kerana kualiti kepimpinannya. 

“Kami amat yakin profilnya menjadi aset penting kami dalam mengembalikan kekuatan pasukan,” kata Naib Presiden Monaco, Vadim Vasilyev. 

Pertahanan tinggi lampai itu mengakui dia sedia memberikan segala-galanya untuk kelab baharunya itu.

“Saya berterima kasih kepada AS Monaco atas kepercayaan ini. Saya akan melakukan segala-galanya untuk memenuhi jangkaan kelab, bukan saja di dalam tetapi juga di luar padang,” katanya kepada laman web kelab berkenaan.

Bekas penyerang Perancis dan Arsenal, Thierry Henry mengambil alih Monaco pada awal musim ini, namun beliau tiba saat kelab ini dipenuhi majoriti pemain mentah berbanding skuad bintang yang memenangi gelaran Ligue 1, dua musim lalu. 

Sejak 2017, kelab itu sudah menjual ramai pemain bintang seperti pemenang Piala Dunia 2018, Kylian Mbpappe, Benjamin Mendy dan Thomas Lemar, juga termasuk Fabinho dan Bernardo Silva yang kini bersama Manchester City di Liga Perdana Inggeris.  

 

 

Disiarkan pada: January 4, 2019 @ 9:53am
d