arena

Djokovic kekal rekod tanpa kalah

Oleh AFP

DOHA: Jaguh tenis nombor satu dunia, Novak Djokovic mencatat satu lagi kemenangan sukar di sini untuk mara ke pentas separuh akhir Terbuka Qatar, sekaligus mengekalkan rekod tanpa kalahnya pada permulaan tahun ini.

Pemain Serbia itu bangkit daripada kekalahan set pertama, sama seperti perlawanan terdahulu untuk menumbangkan pencabar dari Georgia, Nikoloz Basilashvili 4-6, 6-3, 6-4 dalam tempoh dua jam.

Djokovic seterusnya akan berentap dengan Roberto Bautista Agut dalam pertarungan separuh akhir, awal pagi esok, selepas pemain Sepanyol itu menewaskan pemenang tiga gelaran Grand Slam, Stan Wawrinka 6-4, 6-4.

Dan malang buat Basilashvili, apabila Djokovic mengakui masih ada ruang buat dirinya meningkatkan permainan lagi.

“Saya fikir saya masih boleh (meningkatkan) satu atau dua gear,” katanya. “Saya berjaya mencari jalan untuk menang ke atas pemain yang mempunyai pukulan padu dan amat agresif.”

Ia adalah kali pertama Djokovic mencatat dua kemenangan set berturut-turut selepas ketinggalan, sejak kali terakhir melakukannya di Cincinnati yang dimenanginya pada Ogos lalu.

Turut mara ke separuh akhir adalah Tomas Berdych dari Republik Czech yang mengetepikan cabaran pemain Perancis, Pierre-Hugues Herbert yang juga ‘pembunuh gergasi’ kejohanan dengan keputusan 6-2, 6-4. 

Pemain Itali, Marco Cecchinato melengkapkan senarai pemain ke separuh akhir apabila menewaskan pemain Serbia, Dusan Lajovic 7-6 (7/2), 6-2.  

 

Disiarkan pada: January 4, 2019 @ 9:56am
d