arena

LHM hilang seri tanpa Roslan, Izad

Oleh Naqib Nor Said

KUALA LUMPUR: Ketika kempen Liga Hoki Malaysia (LHM) 2019 baharu saja menyingkap tirainya, pastinya ramai peminat hoki tempatan tertanya-tanya ke manakah kelibat pasangan adik-beradik Jamaluddin - Roslan dan Izad Hakimi?

Roslan, 41, dan Izad, 27 dianggap sebagai nama besar dan sinonim dengan kempen LHM, namun nama kedua-dua anak jati Sungkai, Perak itu ‘hilang’ dalam senarai tujuh pasukan yang membuka cabaran Piala Tan Sri P Alagendra, semalam.

Sebagai rekod, pada musim lalu mereka menyarung jersi Kelab Hoki Kuala Lumpur (KLHC), dengan pasukan itu menarik diri pada saingan kali ini.

Ketika ditanya, Roslan yang juga bekas penjaga gol negara, bagaimanapun berkata sudah tiba masanya untuk dia memberikan fokus penuh terhadap tugas kejurulatihan bersama skuad Malaysian Tigress.

“Saya memang sudah fikir semasak-masaknya, sekalipun kalau menerima tawaran daripada mana-mana pasukan saya tetap akan menolaknya.

“Pelbagai perkara dipertimbangkan saya, namun faktor usia dan fizikal menyebabkan saya memilih untuk bersara daripada LHM.

“Kempen LHM ini boleh tahan kompetitif kerana kelab melakukan pelaburan besar dan semestinya mengharapkan yang terbaik, ia berbeza dengan saingan Piala Razak,” katanya.

Sebagai rekod, dia sudah mewarnai kempen LHM sejak 1996 bersama pasukan seperti PKNP, Bank Simpanan Nasional (BSN), Ernst & Young dan KLHC.

Pada masa sama, Roslan turut mendedahkan sebab utama mengapa adiknya, Izad Hakimi memilih untuk berehat pada musim ini.

“Izad ada beberapa komitmen yang tidak dapat dielakkan. Sebenarnya saya difahamkan, dia ada menerima beberapa tawaran... tidak salah saya daripada Pasukan Hoki Terengganu (THT) dan UiTM,” kata Roslan.

Keputusan Izad itu berselang tiga bulan selepas dia menarik diri sementara daripada kem latihan skuad kebangsaan.

Izad mengambil keputusan untuk berehat seketika berikutan masalah peribadi, selain ingin mencari semangat untuk beraksi semula selepas hampir 10 bulan tidak bersama skuad kebangsaan.

Ini kerana, dia mengalami kecederaan posterior cruciate ligament (PCL) di lutut kanan yang dialami ketika saingan LHM 2018.

Izad sering menjadi tonggak utama skuad negara sebelum ini dengan antara pencapaian terbaiknya adalah membantu skuad remaja negara meraih penamat keempat pada Piala Dunia Remaja 2013.

Disiarkan pada: January 4, 2019 @ 12:51pm
d